KPM terima pelajar bermasalah sebagai tanggungjawab, bentuk semula karakter - Fadhlina

SEPANG - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan bahawa pihaknya tidak menolak mana-mana pelajar yang mempunyai masalah disiplin termasuk mereka yang dipindahkan dari institusi lain seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), sebaliknya mengambil tanggungjawab penuh dalam usaha mendidik dan membentuk semula karakter pelajar terbabit.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, tugas mendidik merupakan mandat utama kementerian dan setiap pelajar tanpa mengira latar belakang atau sejarah perlakuan, tetap berhak mendapat peluang kedua dalam sistem pendidikan negara.
“Pertamanya, tugas mendidik memang berada di bawah tanggungjawab KPM. Yang kedua, kalau dihantar ke sekolah, kita kena terima kerana itu tanggungjawab dan komitmen kita,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), selepas menyambut kepulangan pasukan orkestra SPWinds dari Sekolah Seri Puteri yang baru merangkul Anugerah Emas di Festival Orkestra Dunia di Austria pada Selasa.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa pelajar yang terlibat dalam kes buli di MRSM akan dibuang dan berkemungkinan dimasukkan ke sekolah KPM.
Fadhlina berkata, KPM tidak melihat kemasukan pelajar terbabit sebagai satu beban atau ancaman kepada sistem, sebaliknya sebagai peluang untuk membantu mereka berubah melalui pendekatan kaunseling dan intervensi pendidikan.
“Kaunseling ini adalah proses yang berterusan. Dalam konteks pendidikan, kita memang beri tumpuan kepada kaunseling,” jelasnya.
Pada masa sama, katanya, kementerian turut memberi perhatian kepada aspek pemulihan sahsiah dan pengukuhan disiplin murid agar mereka dapat kembali berfungsi sebagai pelajar yang positif dan bertanggungjawab.
“Kita akan lihat aspek-aspek lain juga untuk membina semula karakter dan disiplin anak-anak ini melalui sudut pendidikan serta intervensi-intervensi yang kita laksanakan,” tambahnya.
Beliau turut menegaskan bahawa dasar pendidikan negara berpaksikan prinsip kasih sayang dan bersifat inklusif, sekali gus menolak pendekatan menghukum semata-mata tanpa memberi ruang untuk pelajar membuat pembaikan.
Asyraf Wajdi sebelum ini memperkenalkan konsep 'You Touch You Go' pada November 2023 di kesemua Institut Pendidikan Mara (IPMa) bagi membanteras kejadian buli.
Dalam perkembangan berkaitan, Fadhlina mengulas insiden tular melibatkan seorang pelajar yang didakwa menumbuk guru di sebuah sekolah menengah di Kajang selepas dikatakan cuba ditahan kerana ponteng kelas.
Beliau menegaskan, KPM menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden tersebut memandangkan kes itu telah berada dalam bidang kuasa pihak berkuasa.
“Saya ingat di peringkat KPM ada peraturan dan ia masih berjalan. Tetapi pada masa sama, apabila pihak polis telah mengambil alih kes itu, kita serahkan sepenuhnya kepada mereka untuk siasatan lanjut,” katanya.
Fadhlina berkata, kementerian tetap memantau perkembangan kes tersebut dan akan memberikan sokongan sewajarnya termasuk kepada guru yang terlibat.
“Kita akan beri tumpuan khususnya untuk sesi kaunseling kepada guru juga kerana saya fikir sokongan kepada guru sangat penting untuk kesejahteraan mereka,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa kesejahteraan warga pendidik adalah antara aspek utama yang diberi perhatian oleh KPM, khususnya dalam situasi yang boleh menjejaskan emosi dan keselamatan mereka.
Terdahulu, tular rakaman video memaparkan seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua di sebuah sekolah di Kajang menumbuk seorang guru dipercayai kerana ponteng kelas Pendidikan Jasmani.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

