Penduduk bantah 'orang luar' dilantik ketua kampung

KAMPAR – Penduduk Kampung Dewan, Malim Nawar di sini menolak pelantikan ketua kampung baharu yang didakwa bukan anak tempatan untuk memegang jawatan tersebut.
Wakil penduduk, Amran Harun, 61, berkata, calon ketua kampung seharusnya menepati kriteria yang ditetapkan, termasuk disenangi oleh masyarakat setempat.
Beliau yang juga Ketua Parti Amanah Kawasan Kampar berkata, pihaknya bersama wakil parti lain telah sepakat memilih penyandang sedia ada untuk meneruskan khidmat mewakili komuniti di kampung itu.
“Kami terkejut apabila melihat senarai cadangan, nama ketua kampung yang kami pilih telah digugurkan dan digantikan dengan individu yang kurang dikenali serta jarang terlibat dalam program kemasyarakatan.
“Dengan kerja hakikinya yang memerlukan beliau bertugas dari pagi hingga petang, kami khuatir beliau gagal memberi komitmen dalam menjaga lebih 600 penduduk daripada 380 keluarga di sini,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Amran berkata, bantahan telah disalurkan kepada Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun untuk pertimbangan lanjut.
“Ketika ini, pelantikan ketua kampung bagi kampung ini masih dalam proses.
“Kami berharap bantahan ini mendapat pertimbangan daripada Exco dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sebelum watikah pelantikan dikeluarkan,” katanya lagi.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Barirah Jantan berkata, penduduk mahu ketua kampung sedia ada dilantik semula berikutan khidmat cemerlang yang ditunjukkannya sebagai wakil suara akar umbi.
“Apa sahaja program yang dilaksanakan, termasuk melibatkan kematian sekalipun, beliau sangat efisien dan ringan tulang membantu penduduk.
“Oleh kerana beliau bermastautin di kampung ini, sebarang aduan boleh disalurkan pada bila-bila masa dan beliau juga mudah dihubungi,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan bahawa seramai 658 ketua kampung telah menerima watikah pelantikan daripada keseluruhan 828 buah kampung di negeri Perak setakat ini.
Saarani berkata, kerajaan negeri mengambil pendekatan berhati-hati dalam melantik ketua kampung bagi memastikan individu yang dipilih benar-benar layak serta mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
