KPDN serbu empat premis, rampas 1,405 unit cecair vape tiruan

Anggota penguat kuasa KPDN Terengganu memeriksa cecair isian semula rokok elektronik disyaki tiruan yang dirampas dalam operasi bersepadu di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, pada Selasa.
Anggota penguat kuasa KPDN Terengganu memeriksa cecair isian semula rokok elektronik disyaki tiruan yang dirampas dalam operasi bersepadu di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu menyerbu empat premis yang dipercayai menjual cecair isian semula rokok elektronik (vape) tiruan dalam operasi bersepadu di dua daerah pada Selasa.

Pengarahnya, Mohd Mufsi Lat berkata, operasi tersebut dijalankan susulan aduan pemilik cap dagangan berdaftar yang mendakwa produk tiruan menggunakan jenama mereka dijual secara terbuka.

"Dalam serbuan ke atas tiga premis di sekitar daerah Kuala Terengganu dan sebuah premis di Kuala Nerus menemukan sebanyak 1,405 unit cecair vape disyaki tiruan yang menggunakan cap dagangan tanpa kebenaran.

Pegawai KPDN bersama agensi penguat kuasa lain melakukan pemeriksaan di salah sebuah premis yang disyaki menjual cecair vape tiruan.
Pegawai KPDN bersama agensi penguat kuasa lain melakukan pemeriksaan di salah sebuah premis yang disyaki menjual cecair vape tiruan.

"Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM21,094.00. Turut disita beberapa dokumen perniagaan untuk tujuan siasatan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, operasi bermula jam 12 tengah hari itu disertai seramai 24 pegawai penguat kuasa KPDN Terengganu dengan kerjasama 10 pegawai Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) serta enam pegawai dari Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

"Kita turut menahan empat lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an dipercayai pemilik dan pekerja premis berkenaan bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Anggota penguat kuasa KPDN Terengganu memeriksa cecair isian semula rokok elektronik disyaki tiruan yang dirampas dalam operasi bersepadu di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, pada Selasa.
Anggota penguat kuasa KPDN Terengganu memeriksa cecair isian semula rokok elektronik disyaki tiruan yang dirampas dalam operasi bersepadu di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, pada Selasa.

"Kes ini disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM15,000 bagi setiap barang jika melibatkan pertubuhan perbadanan, manakala individu boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barang atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali," katanya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai agar lebih peka dan tidak menyokong penjualan produk tiruan kerana ia bukan sahaja menjejaskan ekonomi negara malah turut mengancam keselamatan pengguna.

"KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menjual barangan tiruan tanpa kebenaran pemilik cap dagangan sah. Tindakan tegas akan diambil demi melindungi pengguna," ujar beliau.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!