Padam hantaran tidak mencukupi, Ahmad Fadhli perlu mohon maaf - Syahredzan

Syahredzan
Syahredzan
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang memadam hantaran bersifat biadab di Facebook dengan menyamakan pemimpin nombor satu negara termasuk Thailand dan Kemboja dengan haiwan tidak mencukupi.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, pemimpin Pas itu sepatutnya memohon maaf kepada rakyat kedua-dua negara berkenaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas hantaran yang keterlaluan itu.

Beliau berkata, Ketua Penerangan Pas itu tidak perlu meremehkan usaha dilakukan sekiranya diri sendiri tidak boleh memberi sumbangan untuk meredakan ketegangan berlaku dalam konflik negara jiran itu.

"Jika tidak boleh menyumbang dengan positif, sekurang-kurangnya jangan jadi suara yang sumbang dan negatif!

"Tindakan beliau baru-baru ini saya anggap keterlaluan kerana menyindir usaha Malaysia dan PMX untuk mencari penyelesaian damai antara Thailand dan Kemboja," katanya dalam satu hantaran di X pada Selasa.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Mas itu memuat naik gambaran tiga watak binatang iaitu kambing dan biri-biri yang sedang berebut pisang sementara monyet sebagai hakim di media sosialnya.

Dalam hantaran tersebut, beliau menyatakan bahawa kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes berebut pisang, serta turut meletakkan artikel berhubung pergolakan Thailand-Kemboja di sebelah gambar berkenaan.

Disebabkan itu, Syahredzan juga kesal dengan tindakan Ahmad Fadhli yang menggambarkan usaha tersebut sebagai ‘monyet yang menjadi orang tengah’ kepada perebutan ‘kambing dan biri-biri’.

Beliau mengingatkan bahawa konflik di sempadan Thailand dan Kemboja sudah meragut nyawa dan menyingkirkan begitu ramai orang daripada tempat tinggal mereka.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan ahli komuniti antarabangsa yang bertanggungjawab dan dihormati sudah tentu wajar memainkan peranan penting dan ke hadapan.

"Alhamdulillah, dengan PMX sebagai orang tengah, kedua-dua negara itu sudah mencapai persetujuan gencatan senjata. Bayangkan, sekiranya tokoh pembangkang yang menerajui negara.

"Yang Berhormat Ahmad Fadhli sudah memberi gambaran jelas apa Malaysia di bawah Perikatan Nasional (PN) akan lakukan apabila berhadapan dengan konflik di rantau berkenaan," ujarnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!