Atlet, pegawai punyai kontak rapat dengan Jackie dikuarantin

Jackie Wong Siew Cheer
Jackie Wong Siew Cheer
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua atlet, jurulatih dan pegawai yang mempunyai kontak rapat dengan atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong Siew Cheer, yang disahkan positif Covid-19, akan dikuarantin selama 14 hari sebagai langkah pencegahan terhadap penularan wabak itu.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, sebuah pusat kuarantin atlet diwujudkan di asrama (Casa 1) Majlis Sukan Negara (MSN) bagi tujuan tersebut.

Beliau berkata atlet negara yang pulang dari kejohanan antarabangsa juga akan melalui saringan kesihatan dan pengasingan sebagai langkah membendung penularan wabak itu selaras dengan nasihat dan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Reezal Merican berkata pada masa ini tiada sekatan keluar masuk (lockdown) di MSN tetapi pihaknya telah menutup sementara beberapa fasiliti di MSN dan Institut Sukan Negara (ISN), yang disyaki mempunyai kontak terus atau rapat dengan Jackie untuk proses disinfeksi dijalankan sepenuhnya.

“Jackie didapati positif Covid-19 yang dipercayai dijangkiti daripada ayah beliau (Ahli Parlimen Sarikei, Andrew Wong Ling Biu). Tetapi tidak dapat disahkan sama ada beliau dijangkiti ketika ayahnya melawat beliau di Kuala Lumpur pada 1 Mac atau ketika beliau melawat ayahnya di Sarikei.

“Jackie telah pulang ke Sarawak pada 11 Mac untuk melawat ayahnya dan ujian telah dijalankan pada 14 Mac.

“Jadi semua fasiliti yang pernah dilawati beliau seperti gimnasium, pusat latihan, stor suplemen, pusat fisioterapi dan kafe atlet akan dilakukan pembasmian kuman. Kita juga akan melakukan saringan ke atas semua pihak di semua pintu masuk MSN,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Terdahulu, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk SM Muthu mengesahkan bahawa Jackie, 28, yang memegang rekod kebangsaan sejauh 68.22 meter yang dicatatkan pada Ogos lepas, sebagai atlet Malaysia pertama disahkan positif virus itu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Reezal Merican turut mengesahkan bahawa sebuah jawatankuasa khas yang diketuai Pengarah Bahagian Perubatan ISN, Dr Kamarul Hashimy Hussein diwujudkan untuk bekerjasama rapat dengan KKM dan Pejabat Kesihatan untuk mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa.

“Saya akan peroleh maklumat daripada jawatankuasa itu dari semasa ke semasa. Saya juga ingin menasihatkan atlet supaya waspada dengan tanda-tanda Covid-19 dan seandainya mempunyai simptom untuk melakukan ujian dengan segera.

“Pastikan menjaga kesihatan dan kebersihan diri, sentiasa mencuci tangan dan menggunakan ‘hand sanitizer’. Selepas ini, sebarang maklumat mengenai Covid-19 akan dimaklumkan oleh Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail,” tambahnya.

Pada masa yang sama, beliau turut menegaskan bahawa atlet perlu membatalkan atau menangguh sebarang kejohanan, latihan atau lawatan ke luar negara sehingga 30 April ini, terutamanya ke negara yang berisiko tinggi dengan Covid-19.

Jackie, 28, merupakan pemenang pingat gangsa Sukan SEA sebanyak tiga kali berturut-turut dari 2011 hingga 2015, sebelum meraih emas pada edisi 2017 di Kuala Lumpur namun pada edisi di Filipina tahun lepas, beliau terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Di peringkat Asia, Jackie menamatkan saingan Sukan Asia 2018 di Indonesia di tempat ketujuh dengan balingan sejauh 65.92m, selain pencapaian tempat kelapan dalam Kejohanan Asia 2017 dan 2019. - Bernama