APG Kemboja 2023: Semua atlet selesai jalani proses klasifikasi

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyaksikan Noor Syahieda mengibarkan Jalur Gemilang pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke APG Kemboja 2023 di Stadium Bukit Jalil pada Isnin.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyaksikan Noor Syahieda mengibarkan Jalur Gemilang pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke APG Kemboja 2023 di Stadium Bukit Jalil pada Isnin.
A
A
A

SEMUA atlet paralimpik yang akan mewakili negara pada Sukan Para Asean (APG) Kemboja 2023 telah menjalani klasifikasi mengikut kelas dan jenis kekurangan sebelum dibenarkan menyertai acara masing-masing.

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke APG Kemboja 2023, Noor Syahieda Mat Shah berkata, proses yang dijalankan bulan lalu amat penting kerana akan menentukan kelayakan atlet yang berkemungkinan perlu menukar kelas selain mengelak timbulnya masalah pada temasya itu.

“Bagi tahun ini, kita buat klasifikasi dalaman mengikut nama yang sudah disenarai pendek (ke Sukan APG 2023). Kita mohon bantuan daripada yang berkelayakan untuk memeriksa atlet kami sekiranya mereka layak bertanding mengikut kategori yang didaftarkan pada bulan lalu.

“Perkara ini sangat penting supaya kami dapat mengurangkan masalah (di Kemboja) dan sekiranya apa-apa berlaku di Kemboja kami boleh selesaikan namun sekarang kami berkeyakinan dan Insya-ALLAH semua berjalan lancar," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Sukan Negara (MSN), Kuala Lumpur.

Noor Syahieda yang dilantik sebagai CDM wanita pertama APG berkata, dia akan memastikan semua perancangan yang dibuat berjalan lancar supaya tidak mengganggu fokus atlet para negara.

Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mengumumkan kontinjen negara menyasarkan 33 pingat emas, 51 perak dan 58 gangsa pada APG 2023 di Phnom Penh, Kemboja yang berlangsung dari 3 hingga 9 Jun ini.

Kontinjen negara akan diperkuatkan dengan 144 atlet yang akan mengambil bahagian dalam 13 daripada 14 jenis sukan dipertandingkan di Kemboja termasuk satu sukan demo iaitu e-sukan.