Jumlah tinggi alamat IP bukan tanda pemantauan, kuat kuasa lemah - KDN

SHAH ALAM - Jumlah tinggi alamat protokol internet (IP) yang dikesan tidak mencerminkan kelemahan dalam sistem pemantauan siber atau penguatkuatsaan sedia ada dibawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, sebaliknya peningkatan itu adalah manifestasi daripada perkembangan teknologi digital yang semakin pesat dan kemudahan akses pada internet.
Menurutnya, sistem laporan siber antarabangsa membolehkan lebih banyak aktiviti dikenal pasti sekali gus menyumbang kepada peningkatan IP yang dilaporkan.
"Untuk makluman Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi jabatan siasatan jenayah telah meningkatkan keupayaan pemantauan termasuk kerjasama antarabangsa.
"Dalam masa sama, PDRM juga giat membangunkan keupayaan sistem siasatan digital termasuk pengunaan teknologi foresik terkini dan pemantauan dalam talian secara strategik.
"Meskipun data digital pelaku seperti alamat IP dan identiti pengguna berjaya dikenal pasti, PDRM menghadapi beberapa kekangan utama dalam proses pendakwaan," katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdu Khalid ( Bebas- Kuala Kangsar) mengenai pandangan kerajaan tentang tanggapan jumlah alamat IP menunjukkan kelemahan pemantauan siber dan penguatkuasaan.
Shamsul Anuar berkata demikian pada sesi waktu pertanyaan-pertanyaan (MQT) di Dewan Rakyat pada Selasa.
Tambah Shamsul Anuar, antara kekangan utama adalah pemadaman bahan bukti digital yang menyukarkan pengesanan forensik.
Sementara itu, beliau memberitahu, KDN komited memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap jenayah eksploitasi seksual kanak-kanak, khususnya yang melibatkan pemilikan, pengedaran atau penghasilan bahan lucah.
"Jenayah ini bukan sahaja menjijikkan, malah memberi kesan jangka panjang terhadap kesejahteraan fizikal dan psikologi mangsa.
"Justeru, KDN sedang meneliti keperluan untuk meminda undang-undang sedia ada bagi meningkatkan hukuman dan menutup sebarang kelompongan dalam perundangan berkaitan bahan lucah kanak-kanak, terutamanya melalui medium digital," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

