Warga emas mangsa serangan gajah kian pulih, tidak sabar mahu menoreh

Zainab menunjukkan tangan kanannya yang sebelum ini parah diserang gajah.
Zainab menunjukkan tangan kanannya yang sebelum ini parah diserang gajah.
A
A
A

KUALA KRAI – Warga emas yang parah diserang gajah hampir lima bulan lalu, Zainab Mat Husin, 62, tidak sabar untuk kembali menoreh getah dan membuat kuih bagi menampung kehidupannya.

Menurut Zainab, walaupun masih trauma dengan kejadian itu, beliau akan meneruskan kerja-kerja harian kerana sudah lama terlantar dan mengharapkan ihsan anak-anak serta adik-beradik.

Ketika ditemui di kediamannya di Kampung Lakloh di sini, keadaan kesihatan Zainab bertambah baik, namun perlu sedikit masa lagi untuk pulih sepenuhnya. 

"Mujur adik-beradik, anak-anak dan rakan-rakan membantu menyumbang wang yang dapat saya gunakan untuk membeli keperluan harian serta lampin pakai buang," katanya.

Zainab memberitahu, anak sulungnya, Nazri Mat Husin, 46, sanggup berhenti kerja sebagai pemandu bas di Kuala Lumpur dan pulang ke kampung untuk menjaganya sehingga keadaan fizikalnya lebih kuat.

Berkongsi peristiwa yang hampir meragut nyawanya, Zainab berkata, serangan gajah liar yang berlaku hanya 200 meter dari dapur rumahnya ketika beliau sedang menoreh getah mengakibatkan dirinya terpaksa menjalani beberapa pembedahan, termasuk membuang daging rosak di bahagian paha kanan bagi mengelak jangkitan kuman.

Bagaimanapun, Zainab bersyukur kerana sudah boleh berdiri menggunakan tongkat dan melakukan senaman ringan bagi mengelakkan kekejangan otot.

Muhammat Nuqman melihat tangan neneknya yang semakin pulih selepas lima bulan diserang gajah liar.
Muhammat Nuqman melihat tangan neneknya yang semakin pulih selepas lima bulan diserang gajah liar.

Artikel Berkaitan:

"Selepas dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) lebih dua bulan lalu, saya tidak boleh bergerak aktif dan masih sakit di bahagian pinggang akibat tusukan gading gajah," katanya.

Zainab juga mengakui masih ketakutan setiap kali melihat lokasi beliau diserang gajah dari arah dapur rumah.

"Alhamdulillah, cucu saya, Muhammat Nuqman Hanafi, 17, anak kepada Nazri, mengambil alih menjaga saya selepas bapanya mendapat pekerjaan baharu minggu lalu," katanya lagi.

"Buat masa ini, Muhammat Nuqman yang belajar di sekolah pondok tidak dapat menyambung pengajiannya dan menunggu keadaan kewangan kami stabil untuk meneruskan pelajaran," katanya.

Tambahnya, beban yang ditanggung juga semakin berkurang kerana beliau sudah menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600 sebulan.

Orang ramai yang ingin membantu mengurangkan beban boleh menyumbang melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) di nombor akaun 0300541100013496 atas nama Zainab Mat Husin.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Zainab telah menjalani pembedahan kali ketiga selepas diserang gajah pada 20 Mac lalu ketika sedang menoreh getah.

Warga emas itu parah di pergelangan tangan kanan manakala paha kanan pula terkoyak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!