Kedah tak halang hadir masjid

Mukhriz (tiga, kanan) bersama Sheikh Fadzil (dua, kanan) pada sidang media, di Wisma Darul Aman.
Mukhriz (tiga, kanan) bersama Sheikh Fadzil (dua, kanan) pada sidang media, di Wisma Darul Aman.
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah tidak melarang jemaah menghadiri solat di masjid selagi mematuhi garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, sehingga kini belum ada fatwa dikeluarkan berhubung perkara itu dan kerajaan negeri akan memaklumkan sebarang perubahan dari semasa ke semasa.

Menurutnya, mereka yang mengunjungi tempat ibadah digalakkan mematuhi panduan sebagai langkah pencegahan.

“Sebarang perkembangan berkaitan akan diumumkan Pejabat Mufti atau Majlis Agama Islam Kedah (Maik). Ini termasuk keperluan mengadakan solat Jumaat, solat fardu, majlis tahlil atau keagamaan. Buat masa ini, tiada halangan cuma mohon patuhi panduan KKM,” katanya, pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Wabak Koronavirus peringkat negeri Kedah di Wisma Darul Aman hari ini.

Mukhriz berkata, semua tempat ibadat diminta menyediakan cecair pencuci tangan sebagai langkah pencegahan wabak Covid-19.

“Mereka yang mengalami simptom sakit, selesema, batuk atau bersin, demam tidak perlu hadir ke tempat kunjungan ramai dan segera dapatkan rawatan di klinik kesihatan,” katanya.

Sementara Mufti Kedah, Datuk Sheikh Fadzil Awang berkata, semua 576 masjid di seluruh Kedah tetap dibuka kepada jemaah selagi tiada perintah berkurung oleh kerajaan Persekutuan atau negeri.

“Tengok situasi setiap negeri dan keperluan jika perlu, di Kedah keadaan masih terkawal. Jika tahap lebih serius, kita akan tangguhkan solat Jumaat termasuk perhimpunan di masjid, dan berikan panduan bersesuaian, apabila keadaan mendesak dan mendatangkan mudarat kepada jemaah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pengurusan masjid telah diberikan panduan sewajarnya untuk mengambil langkah pencegahan diperlukan.

Sheikh Fadzil berkata, keputusan untuk membatalkan solat Jumaat di negeri lain tertakluk kepada pandangan pihak berwajib mengenai penularan pandemik Covid-19 di negeri masing-masing.