Lelaki ditahan ganggu penyu bertelur di Cerating, 2 lagi masih diburu

KUANTAN – Seorang lelaki tempatan ditahan manakala dua rakannya masih dikesan kerana disyaki terlibat mengganggu seekor penyu yang naik bertelur di kawasan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Cherating, di sini pada Ahad lalu.
Suspek berusia 51 tahun itu ditahan kira-kira jam 1 tengah hari Isnin di sekitar Cerating.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintenden Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai mengganggu penyu tersebut bagi mempercepatkan proses bertelur dengan tujuan mengambil telur untuk dijual atau digunakan secara haram.
Menurutnya, selepas perbuatan mereka disedari dan ditegur oleh beberapa pengunjung, suspek bertindak melepaskan semula penyu tersebut ke laut.
“Pihak polis menerima satu laporan berhubung kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 7 pagi pada Ahad.
“Kejadian itu telah dirakam oleh beberapa pelancong yang berada di lokasi dan tular di platform media sosial memaparkan tindakan tiga individu mengangkat seekor penyu dan membawanya ke lokasi lubang bertelur yang telah digali.
“Bertindak atas laporan yang dibuat oleh Ketua Pusat Konservasi Penyu Cherating, polis telah menjalankan siasatan segera dan berjaya mengenal pasti salah seorang suspek melalui rakaman video yang tular,” katanya.
Mohd Adli berkata, hasil tindakan pantas polis, lelaki berkenaan yang turut didapati positif dadah berjaya ditahan manakala dua lagi rakannya masih diburu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 27 Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 jika sabit kesalahan.
“Kes ini seterusnya akan disiasat oleh Jabatan Perikanan Malaysia mengikut peruntukan undang-undang yang berkaitan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa polis akan bekerjasama sepenuhnya dengan Jabatan Perikanan Malaysia dan agensi berkaitan dalam memastikan pelaku yang mengganggu spesies marin dilindungi seperti penyu dikenakan tindakan tegas.
“Orang awam diingatkan supaya tidak melakukan sebarang bentuk gangguan terhadap hidupan marin dan diseru menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya menyaksikan sebarang aktiviti yang mencurigakan,” ujarnya.
Terdahulu, beberapa klip video memaparkan tindakan beberapa lelaki mengangkat seekor penyu yang dipercayai mendarat untuk bertelur di sebuah pantai di sini tular di media sosial hingga menimbulkan kemarahan orang ramai.
Tindakan lelaki terbabit turut mencetuskan persoalan, apabila terdapat dakwaan bahawa ia merupakan cubaan membawa lari reptilia tersebut untuk dijual.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

