Op Metal: SPRM rakam keterangan 32 individu bantu siasatan

Pasukan Anti Corruption Tactical Squad (ACTS) SPRM ketika melakukan serbuan dalam operasi khas ‘Ops Metal’ di tempat penyimpanan dan pemprosesan besi buruk di Jalan Bukit Minyak. Foto Bernama
Pasukan Anti Corruption Tactical Squad (ACTS) SPRM ketika melakukan serbuan dalam operasi khas ‘Ops Metal’ di tempat penyimpanan dan pemprosesan besi buruk di Jalan Bukit Minyak. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 32 individu telah dirakam keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan susulan tindakan serbuan sindiket penyeludupan besi buruk dan sampah elektronik (e-waste) di lima negeri.

Menurut sumber, SPRM masih menjalankan siasatan bagi elemen rasuah di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 18 Akta SPRM.

“SPRM telah mengambil keterangan seorang lelaki bergelar Datuk Seri yang dikaitkan dengan sindiket penyeludupan tersebut.

“Bagaimanapun, tiada sebarang tangkapan dilakukan,” katanya pada Isnin.

Tambah sumber, jumlah sitaan dan pembekuan akaun kini berjumlah lebih RM332 juta.

Op Metal yang dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM di Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan, Johor dan Selangor pada 14 Julai lalu melibatkan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Pelbagai aset telah disita antaranya lapan hartanah di Pulau Pinang iaitu tiga unit banglo di Batu Maung, satu unit Penthouse di Tanjung Tokong, satu unit lot kedai di Bayan Lepas, 31 ekar tanah di Nibong Tebal selain enam unit kereta mewah yang terdiri daripada model Porsche Cayenne, Range Rover, BMW, Volvo, Toyota Land Cruiser dan Toyota Alphard.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, SPRM kini sedang mengenal pasti pihak-pihak yang bersekongkol dengan sindiket ini yang menyeludup keluar besi serta bahan buangan e-waste melalui Pelabuhan Klang dan Pulau Pinang sehingga menyebabkan kerajaan kerugian hasil cukai dianggarkan berjumlah lebih RM950 juta sejak enam tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!