Nilai ambang cukai sektor pembinaan kekal RM1.5 juta – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) ketika ini belum bercadang untuk menaikkan nilai ambang pendaftaran perkhidmatan bercukai bagi sektor pembinaan daripada RM1.5 juta kepada RM3 juta.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, nilai ambang yang ditetapkan sebelum ini kekal digunakan.
“Setakat ini tiada perbincangan untuk menaikkan nilai ambang pendaftaran perkhidmatan bercukai bagi sektor pembinaan kepada RM3 juta, bererti nilai ambang RM1.5 juta akan kekal.
“Ini (prosedur menaikkan nilai ambang) adalah bidang tugas Kementerian Kewangan. Mereka tentu mengetahui dan memahami keperluan untuk menaikkan nilai ambang,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN–Kuala Krai) mengenai pertimbangan menaikkan nilai ambang pendaftaran perkhidmatan bercukai terutamanya bagi sektor pembinaan, sewaan dan pajakan.
Sementara itu, menjawab soalan asal Yusof Abdul Wahab (GPS–Tanjong Manis) mengenai langkah kementerian dalam memastikan projek sedia ada tidak terkesan dengan pengenaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), Ahmad berkata, kerajaan telah mengambil langkah-langkah proaktif untuk memperincikan dan memastikan pengecualian tertentu diberikan kepada kategori projek yang layak.
Katanya, pengecualian itu termasuk ke atas perkhidmatan kerja pembinaan bagi bangunan kediaman dan kemudahan awam berkaitan rumah ibadah, tandas awam dan taman rekreasi.
Turut dikecualikan ialah aktiviti Perniagaan kepada Perniagaan (B2B) terpilih, tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat tertentu, di mana kontraktor utama dikenakan tetapi tidak kepada subkontraktor serta bahan binaan asas seperti simen, agregat atau kerikil, dan pasir yang kekal pada kadar sifar di bawah cukai jualan, sebagai langkah menyokong keperluan industri pembinaan.
“Seiring dengan komitmen kerajaan untuk melaksanakan SST secara adil dan berkesan serta bagi memastikan transisi yang lancar kepada semua pihak, syarikat dan kontraktor yang menjalankan kontrak tanpa peluang untuk dikaji semula akan diberikan pengecualian daripada pembayaran cukai perkhidmatan selama satu tahun dari tarikh kuat kuasa, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

