Gimik RM100 yang tak menjadi

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara berusia 18 tahun dan ke atas. Gambar hiasan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara berusia 18 tahun dan ke atas. Gambar hiasan
A
A
A

MERAK JALANAN nak ucap terima kasih pada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani kerana beri bantuan RM100. Sumpah, sebelum ini memang tak pernah dapat.

RM100 mungkin tak besar mana tapi cukup bermakna. Bak kata pepatah, rezseki jangan ditolak musuh jangan dicari. Tapi kerana RM100 itu jugalah kecoh satu negara.

Sebelum PM umumkan bantuan kerajaan itu, rakyat menunggu dengan penuh debar.

Bila diumum, “Kerajaan beri bantuan RM100 secara one-off.” Reaksi spontan rakyat: "Itu je?"

Bagi Merak Jalanan, tak salah kerajaan nak beri RM100. Nak bagi RM50 pun tak apa. Niat baik. Memang tak ada jumlah yang cukup untuk puaskan semua orang.

Tapi gimik dan promosi awal yang menjadikan ia bahan ketawa, bukannya tepukan.

Kejutan yang sepatutnya menyentuh emosi rakyat, akhirnya jadi bahan jenaka dan sindiran di media sosial.

Sampai ada yang buat tanda pagar salam RM100! Bila kerajaan, pemimpin, atau mana-mana institusi terlalu ghairah cipta kejutan, kononnya nak beri kejutan pada rakyat tapi bila isinya kosong, rakyat mula muak.

Isu ini tak terhad kepada bantuan tunai. Lihat saja projek perasmian gergasi, majlis pelancaran program yang gah tapi tindakan lanjut tiada.

Artikel Berkaitan:

Hari ini meriah. Esok lesap tanpa berita. Kejutan semata-mata nak viral, bukan nak menyelesaikan masalah. Semata-mata untuk kepentingan politik.

Zaman berubah. Rakyat sekarang bukan macam dulu yang boleh disuap dengan gula-gula atau janji-janji manis.

Sekarang mereka ada akses maklumat, mereka bandingkan polisi, mereka baca data.

Rakyat sekarang tak lagi terpukau dengan sembang politik: "Hari ini jadi kerajaan, esok minyak turun harga." Mereka mahukan hasil. Mahukan kesan langsung.

Kejutan sebenar bagi mereka ialah harga barang turun. Minyak stabil. Gaji naik. Itu baru kejutan yang ditunggu!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!