Hindari trend 'S-Line', jangan dedahkan aib - Jabatan Mufti Pahang

KUANTAN - Jabatan Mufti Negeri Pahang menyifatkan fenomena 'S-Line' yang tular di media sosial perlu dinilai secara serius dari pelbagai sudut termasuk akidah, adab, hukum menyebarkan aib dan kecenderungan masyarakat terhadap maksiat digital.
Dalam hantaran yang dikeluarkan di laman Facebook jabatan itu, meskipun trend itu tidak termasuk dalam takrif riya’ secara mutlak, ia jelas melibatkan unsur kebanggaan terhadap dosa yang secara nyata dilarang dalam syariat.
"Trend ini jelas mendorong umat Islam, khususnya generasi muda remaja ke arah menjana konten-konten media sosial yang tidak berfaedah serta membuka jalan ke arah maksiat digital.
"Perilaku seperti ini wajib dihalang berdasarkan kaedah Sadd al-Zara’i yang masyhur digunakan dalam usul mazhab Maliki," jelas hantaran tersebut.
Di Malaysia, trend ini telah menular dalam kalangan pengguna TikTok, terutama anak muda dan ada yang melakukannya sekadar untuk hiburan, bergurau senda atau membuat lawak.
Trend yang tercetus hasil inspirasi daripada drama Korea bertajuk S-Line itu menyaksikan pengguna memuat naik gambar dengan garisan merah di atas kepala, yang menggambarkan bilangan hubungan fizikal, sama ada secara realiti mahu pun sekadar imaginasi.
Jelasnya, amalan itu tidak dinamakan riyak dari sudut istilah penggunaan syarak mahupun bahasa dan ia termasuk dalam perbuatan yang melambangkan kebanggaan terhadap dosa silam.
"Hal ini telah dilarang oleh Rasulullah SAW yang bersabda:“Hindarilah dosa-dosa terkutuk yang telah ALLAH SWT larang kalian daripada melakukannya; sesiapa yang diuji dengan salah satu dosa yang terlarang itu, maka wajiblah dia tutup ia dengan penutupan daripada ALLAH (selagi Allah tidak mendedahkannya);
"Dan hendaklah dia bertaubat kepada ALLAH, kerana sesungguhnya sesiapa yang menceritakan kepada kami dosa-dosa kesalahannya, nescaya kami akan menegakkan hukum Kitab ALLAH ke atas dirinya," jelasnya.
Ujarnya, sekiranya seseorang secara terbuka mengaku pernah melakukan zina, maka mereka boleh dikenakan hukuman hudud di bawah undang-undang Islam.
Jabatan itu turut menekankan bahawa keterlibatan dalam trend seperti ini boleh merosakkan izzah (kemuliaan) seorang Muslim dan merupakan perbuatan yang sia-sia lagi mendorong ke arah dosa.
"Sebaliknya, seorang Muslim perlu berbangga dengan amal soleh dan bukan dengan perbuatan yang melambangkan kehinaan dan maksiat.
"Hukum menyebarkan atau memberi isyarat terhadap hubungan peribadi (seksual) secara umum di media sosial adalah haram kerana ia termasuk dosa al-mujahir bi al-ma’asi iaitu menzahirkan secara terang-terangan sesuatu maksiat dan dosa," jelas hantaran itu lagi.
Dalam pada itu, Jabatan Mufti Negeri Pahang meminta masyarakat menghindari trend negatif tersebut dan menutup aib masing-masing jika pernah terjerumus.
"Jangan dedahkan aib kita sama ada secara jelas langsung mahupun apa-apa isyarat.
"Bertaubatlah kepada ALLAH SWT kerana Dia Maha Pengampun lagi Menerima Taubat sekalian hamba-Nya.
"Dalam masa yang sama, berguraulah dan berhiburlah dengan pedoman syariat Islam. Jangan bergurau dengan dosa dan maksiat," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

