Teruja ikut trend, terlupa tengah buka aib

FENOMENA media sosial hari ini menyaksikan pelbagai trend menjadi tular dalam sekelip mata.
Terbaharu, trend 'S-Line' yang tercetus hasil inspirasi daripada drama Korea pula mengundang perdebatan hangat apabila ia dikatakan melampaui batas norma kesopanan dan ajaran agama.
Trend yang memaparkan individu dengan garisan merah dilukis di atas kepala yang menggambarkan bilangan hubungan fizikal, sama ada secara realiti mahu pun sekadar imaginasi telah mengundang teguran daripada Jabatan Mufti Negeri Pahang.
Jabatan Mufti Negeri Pahang menyifatkan fenomena 'S-Line' yang tular di media sosial perlu dinilai secara serius dari pelbagai sudut termasuk akidah, adab, hukum menyebarkan aib dan kecenderungan masyarakat terhadap maksiat digital.
Dalam hantaran yang dikeluarkan di laman Facebook jabatan itu, meskipun trend itu tidak termasuk dalam takrif riya’ secara mutlak, ia jelas melibatkan unsur kebanggaan terhadap dosa yang secara nyata dilarang dalam syariat.
Jabatan tersebut menambah, trend tersebut jelas mendorong umat Islam, khususnya generasi muda remaja ke arah menjana konten-konten media sosial yang tidak berfaedah serta membuka jalan ke arah maksiat digital.
Apa yang membimbangkan, trend tersebut dilakukan kononnya atas nama hiburan, lawak atau gurauan semata-mata.
Bagaimanapun, ramai yang terleka hingga mengabaikan batas agama serta budaya timur yang luhur dalam keghairahan mengejar perhatian dan tontonan di media sosial.
Tidak semua perkara yang tular wajar diikuti dan dalam kes itu, tindakan mengikuti trend ‘S-Line’ jelas bukan sekadar tidak berfaedah, malah boleh membuka aib yang tidak sepatutnya dikongsikan dengan individu lain.
Pengguna media sosial khususnya remaja perlulah lebih berhati-hati dalam memilih trend untuk disertai kerana menjadi tular bukanlah satu kejayaan jika ia dibayar dengan maruah dan harga diri.
Adalah penting untuk menanam kesedaran bahawa tidak semua yang lucu atau menarik di media sosial perlu diikuti, walaupun sekadar hiburan semata-mata.
Media sosial bukan sekadar ruang bersosial, ia adalah platform terbuka yang ditonton jutaan pengguna dari pelbagai latar belakang.
Sebarang kandungan yang dimuat naik, wajar ditapis dengan akal dan nilai akhlak.
Justeru, teguran Jabatan Mufti Negeri Pahang harus dijadikan peringatan bersama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

