'Gadis tanah liat' tawan pasaran seramik antarabangsa

BERMULA dengan warisan keluarga, seorang 'gadis tanah liat' dari Kampung Bunut Payong di Kota Bharu, Kelantan berjaya mengembangkan perniagaan kraf seramiknya hingga mampu menghasilkan lebih 100 unit sehari dan menembusi pasaran luar negara termasuk Singapura.
Pemilik Belipot Craft Ceramic, Nur Syazwani Izyan Jefridin, 33, berkata, keputusan meninggalkan impian bergelar anggota polis demi meneruskan legasi ayahnya berbaloi apabila perniagaan berasaskan tanah liat itu mendapat permintaan tinggi dalam dan luar negara.

“Bila lihat tiada dalam kalangan adik-beradik lain yang berminat sambung kerja ayah, saya ambil tanggungjawab itu demi teruskan warisan keluarga yang sudah hampir 40 tahun.
“Alhamdulillah, minat ini bertukar menjadi kerjaya. Sekarang kami boleh hasilkan lebih 100 unit produk sehari termasuk pasu, bekas telur, lampu dan hiasan dalaman rumah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Menurut Nur Syazwani Izyan yang berkelulusan diploma pengurusan, sehingga kini lebih 80 rekaan seramik dihasilkan dengan corak dan bentuk sentiasa dikemas kini mengikut trend semasa untuk menarik minat pasaran khususnya golongan muda.
Ujarnya, produk yang ditawarkan pada harga antara RM1 hingga RM150 itu tidak dijual terlalu mahal kerana matlamatnya lebih kepada memelihara seni warisan dan mengekalkan minat pelanggan terhadap produk tempatan.

“Setakat ini, permintaan bukan sahaja datang dari seluruh Malaysia, malah turut diterima dari Singapura.
"Fokus saya sekarang adalah untuk meluaskan lagi pasaran ke negara jiran lain seperti Brunei dan Indonesia,” katanya.
Tambah beliau, Belipot Craft Ceramic bukan sahaja menjual hasil seramik, malah turut menganjurkan bengkel dan demonstrasi kraf sebagai inisiatif untuk mendekatkan masyarakat kepada seni pembuatan seramik, terutamanya generasi muda.
“Kami turut menjalankan kelas seramik pada setiap hujung minggu iaitu Jumaat dan Sabtu. Ia terbuka kepada semua termasuk kanak-kanak kerana kami ada sediakan aktiviti DIY seramik khas untuk mereka.
“Kelas ini diadakan selama tiga jam, maksimum tujuh peserta untuk satu sesi, dengan bayaran RM65 seorang. Info dan promosi biasanya kami umumkan melalui Instagram rasmi,” ujarnya.
Nur Syazwani Izyan memberitahu, selain menjalankan kelas di premisnya sendiri, beliau juga sering dijemput menghadiri pelbagai program komuniti dan karnival di seluruh negeri untuk mengadakan demonstrasi dan bengkel seramik.
Kata beliau, setakat ini perniagaannya dibantu oleh tiga orang pembantu yang turut memainkan peranan penting memastikan operasi harian berjalan lancar.
Mengulas mengenai bahan asas digunakan, beliau menjelaskan bahawa kesemua produk yang dihasilkan adalah menggunakan tanah liat asli yang diperoleh dari sekitar Kelantan dan tidak dicampur dengan sebarang bahan kimia.

“Kami sangat menjaga kualiti dan keaslian produk. Setiap item 100 peratus menggunakan tanah liat semula jadi tanpa sebarang bahan kimia.
“Itu antara kekuatan produk kami yang menjadi nilai tambah kepada pelanggan yang mementingkan unsur semula jadi,” katanya.
Bagaimanapun, Syazwani mengakui industri seramik tempatan kini berdepan cabaran tersendiri termasuk persaingan daripada produk import khususnya dari China yang dijual pada harga lebih murah.
“Memang kita tak boleh lawan harga barangan dari China yang dijual secara pukal dan murah, tapi keunikan produk tempatan adalah pada keaslian, ketelitian buatan tangan dan nilai sentimentalnya.
“Saya percaya pelanggan yang menghargai seni dan warisan akan tetap memilih produk buatan tempatan,” katanya optimis.
Beliau berharap usaha kecilnya ini dapat menyemarakkan semula minat terhadap seni seramik tanah liat dalam kalangan rakyat Malaysia serta menjadikan kraf ini sebagai produk warisan negara yang terus hidup merentas generasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

