PM sudah beri jawapan isu Adendum Najib - Ahmad Maslan

BAGAN SERAI - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberikan jawapan berhubung isu dokumen Adendum melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak ketika pertemuan bersama pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) pada 11 Julai lalu.
Perkara itu didedahkan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang memaklumkan bahawa beliau merupakan individu pertama membangkitkan isu berkenaan dalam pertemuan tertutup bersama Perdana Menteri di Seri Perdana.
Menurutnya, walaupun jawapan yang diberikan Perdana Menteri tidak dapat didedahkan atas faktor sensitiviti, mesej yang disampaikan jelas bahawa isu tersebut sedang ditangani di peringkat tertinggi.
“Saya orang pertama yang bertanya kepada Perdana Menteri malam itu. Saya kata, ‘Datuk Seri, isu Adendum ini sudah berlarutan lama. Lagi cepat selesai, lagi baik.’
“Saya tanya bila ia akan selesai dan Perdana Menteri ada memberikan jawapan tertentu yang saya tidak boleh dedahkan di sini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Serai di Dewan Dato’ Zainal Abidin Zin, di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat dan Ketua Pemuda UMNO Perak, Nazirul Jamaluddin.
Ahmad yang juga Ketua Sekretariat War Room UMNO Malaysia berkata, perkembangan terbaharu termasuk kenyataan rasmi Peguam Negara yang mengesahkan kewujudan dokumen Adendum tersebut mengukuhkan lagi keperluan agar proses penyelesaian dapat dipercepatkan.
“Apabila Peguam Negara mengesahkan memang wujud Adendum itu, maka orang UMNO menunggu-nunggu apakah tindakan seterusnya. Bagaimanapun, kita maklum ia melibatkan beberapa peringkat proses kehakiman,” jelas beliau.
Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, telah memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

