Hafizul sedia bawa Maine Coon ke Eropah, AS

Mohd Hafizul bersama kucingnya, Clementine berjaya menjadi juara keseluruhan pertandingan kucing anjuran MBS baru-baru ini.
Mohd Hafizul bersama kucingnya, Clementine berjaya menjadi juara keseluruhan pertandingan kucing anjuran MBS baru-baru ini.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang pencinta kucing bukan sahaja menjadikan haiwan comel itu sebagai peliharaan, malah turut menceburi bidang pembiakan baka serta menyertai pertandingan kucing di dalam dan luar negara.

Baru-baru ini, pemilik dan pembiak kucing profesional, Mohd Hafizul Mew Hamzah, 38, menyertai pertandingan dan pertunjukan kucing anjuran Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dengan memperagakan dua ekor kucing peliharaannya, Clementine dan Budin.

Anak kucing betina baka Maine Coon, Clementine, dinobatkan sebagai juara keseluruhan selepas bersaing dengan lebih 70 ekor kucing pelbagai baka.

Clementine yang kini berusia lapan bulan bukan sahaja mengungguli kategori utama, malah turut membawa pulang gelaran Best Junior dan Best Grooming Longhair.

Kemenangan itu mengukuhkan lagi rekod cemerlang Clementine yang kini memegang gelaran Best Kitten CFA peringkat Asia dan sedang mengumpul mata dalam pertandingan bertaraf dunia di bawah pengiktirafan Cat Fanciers’ Association (CFA), iaitu badan induk pertandingan kucing antarabangsa.

Mohd Hafizul yang mempunyai lebih 15 tahun pengalaman dalam bidang pembiakan Maine Coon berkata, beliau membiak baka tersebut mengikut standard CFA dengan menitikberatkan aspek kesihatan dan pemakanan premium.

Dengan lebih 30 ekor Maine Coon berdaftar serta 10 kucing jalanan yang diselamatkan, beliau menyimpan hasrat untuk membawa hasil pembiakannya ke peringkat antarabangsa.

Antara kucing baka maine coons yang dibiakkan oleh Mohd Hafizul.
Antara kucing baka maine coons yang dibiakkan oleh Mohd Hafizul.

Artikel Berkaitan:

“Aktiviti berkaitan kucing semakin berkembang jika dibandingkan dengan 10 tahun lalu. Kini, banyak pertandingan dianjurkan dan membuka peluang kepada pencinta kucing untuk menyerlahkan potensi haiwan mereka.

“Hasrat saya besar, kami sudah mula menempah nama di Asia Tenggara dan bersedia mencabar diri ke pentas lebih mencabar di Jepun, Eropah serta Amerika Syarikat,” katanya ketika ditemui pada pertandingan anjuran MBS, baru-baru ini.

Tambahnya, penyertaan dalam pertandingan kucing tempatan dan antarabangsa penting untuk membuktikan kucing yang dihasilkan menepati piawaian global.

Katanya, selain pengiktirafan, pertandingan turut memberi pulangan dari segi kewangan.

“Sebagai contoh, hanya bermodalkan RM100 untuk yuran penyertaan ini, saya berjaya membawa pulang hadiah tunai RM1,600.

“Kemenangan dalam pertandingan ini amat penting bagi saya sebagai pembiak. Ia membuktikan bahawa baka yang dihasilkan berkualiti tinggi dan menepati standard CFA,” tambahnya.

Jelasnya, setiap baka mempunyai piawaian tersendiri yang dijadikan rujukan dalam menilai kualiti dan keaslian sesebuah baka.

“Saya hasilkan baka Maine Coon mengikut standard ini, dan alhamdulillah telah berjaya dalam pertandingan di dalam dan luar negara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!