Dua laporan polis diterima berkaitan PRN Melaka

Dzulkhairi
Dzulkhairi
A
A
A

MELAKA – Polis Melaka menerima dua laporan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka meskipun proses penamaan calon bagi pilihan raya itu belum berlangsung.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kedua-dua laporan berkenaan dibuat oleh pemimpin parti DAP pada 14 Oktober lalu.

Menurutnya, laporan pertama berkaitan kandungan di aplikasi TikTok yang didakwa mengaitkan DAP dengan dakwaan menutup rezeki peniaga Melayu susulan cadangan membuka semula zon bebas kenderaan (car-free zone).

Beliau berkata, kandungan berkenaan menimbulkan rasa tidak puas hati apabila DAP didakwa mahu menjejaskan perniagaan peniaga nasi Melayu di kawasan bandar.

“Laporan kedua pula berkaitan isu dakwaan DAP terlibat dengan pengoperasian sekolah agama Rohingya.

“Kedua-dua kes masih dalam siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi taklimat PRN berlangsung di IPK Melaka pada Khamis.

Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata, laporan polis itu dibuat bagi menafikan dakwaan yang disifatkan boleh menjejaskan reputasi parti berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi menentukan kesahihan dakwaan terbabit.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, seramai kira-kira 3,400 anggota dan petugas polis akan digerakkan bagi memastikan kelancaran PRN Melaka.

Katanya, Polis Melaka turut memohon bantuan 1,500 anggota tambahan dari negeri lain, termasuk Bukit Aman, bagi memperkukuh penugasan sepanjang tempoh pilihan raya.

“Penugasan anggota bantuan dari negeri-negeri lain akan diselaraskan oleh Bukit Aman.

“Kita juga mempunyai pasukan khas yang akan menggunakan kemudahan seperti kamera litar tertutup (CCTV), dron dan peralatan lain bagi memastikan kelancaran pilihan raya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!