PRN Melaka: Polis beri amaran tidak sentuh isu 3R, fitnah, ganggu ketenteraman awam

MELAKA - Polis memberi amaran kepada semua calon dan parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka supaya tidak memainkan isu agama, kaum dan institusi diraja (3R), menyebarkan fitnah serta mencetuskan isu ketenteraman awam sepanjang tempoh berkempen.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, ketiga-tiga perkara itu perlu diberi perhatian bagi mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, fokus utama polis adalah memastikan ketenteraman dan keselamatan awam sepanjang proses pilihan raya berlangsung.
“Perkara paling penting ialah jangan memainkan isu 3R, jangan menyebarkan fitnah dan jangan menyentuh isu ketenteraman awam.
“Tiga perkara ini perlu dijaga supaya tidak menimbulkan kegusaran awam. Fokus kita adalah ketenteraman dan keselamatan, manakala isu 3R dan sebagainya akan diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk siasatan,” katanya pada sesi taklimat PRN Melaka di IPK Melaka pada Khamis.
Sementara itu dalam perkembangan sama, Dzulkhairi berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang permohonan permit bagi aktiviti kempen PRN Melaka setakat ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, polis bersedia membantu parti politik dan calon bagi memudahkan urusan permohonan permit berkenaan.
“Kita akan memanggil wakil calon di setiap daerah untuk membuat permohonan permit kempen lebih awal bagi melancarkan urusan sepanjang tempoh pilihan raya.
“Kita tidak mahu menyusahkan parti politik, sebaliknya mahu memudahkan urusan mereka. Sebab itu, kita akan memanggil wakil calon di setiap daerah untuk membuat permohonan awal permit kempen,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

