KPDN Perak bantu masyarakat guna sistem eCOSS

Kamalludin (dua dari kiri) menunjukkan aplikasi mobil sistem eCOSS yang boleh digunakan pengunjung bagi pembelian minyak masak peket bersubsidi di PJRM KPDN Perak di Ipoh.
Kamalludin (dua dari kiri) menunjukkan aplikasi mobil sistem eCOSS yang boleh digunakan pengunjung bagi pembelian minyak masak peket bersubsidi di PJRM KPDN Perak di Ipoh.
A
A
A

IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak akan membantu sepenuhnya masyarakat dalam penggunaan sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS).

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pelaksanaan rintis aplikasi mudah alih eCOSS itu akan diperluaskan menerusi Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di seluruh negeri.

“Apa-apa sistem baharu yang diperkenalkan pasti ada kesukarannya, namun kita telah menempatkan pegawai kita di kaunter jualan PJRM untuk membantu proses pendaftaran.

“Daftar kali pertama, kemudian ia akan memudahkan. Di Perak ini, kita mula hari ini, jadi kita akan dapat maklumat daripada orang ramai untuk mendaftar sistem ini dan ia mungkin mengambil sedikit masa,” katanya dalam sidang akhbar sesi Walkabout PJRM KPDN Perak di Bangunan Persekutuan Greentown, di sini pada Jumaat.

Kamalludin berkata, penggunaan eCOSS akan melengkapkan pemantauan rantaian pengedaran minyak masak peket bersubsidi 1 kilogram (kg) dari awal rantaian sehingga ke peringkat pengguna.

Beliau berkata, sebanyak 983 program PJRM telah dilaksanakan di seluruh negeri bermula Januari sehingga kini, berbanding 945 program yang sama tahun lalu.

“Dari segi nilai jualan, PJRM pada tahun ini mencatatkan sebanyak RM53,488,905.38, berbanding dengan tahun 2024 yang merekodkan sebanyak RM64,089,786.04 bagi tempoh Januari hingga Disember.

“Bagi statistik penerima manfaat pula, pada tahun 2025 seramai 1,227,731 orang telah menerima manfaat daripada program PJRM ini di seluruh negeri, manakala dalam tempoh Januari hingga Disember 2024, seramai 1,657,255 orang telah menerima manfaat daripada program ini.

“Bilangan penerima manfaat pada tahun ini dijangka terus meningkat memandangkan program PJRM ini sering mendapat sambutan dan permintaan yang tinggi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!