Parkir khas untuk rakyat Malaysia bekerja di Singapura

Mohd Jafni (tiga kanan) mengiringi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi melancarkan Kedai Kos Sederhana UDA Vista sempena Majlis Perasmian Pameran Hartanah Johor 2025 pada Jumaat. Foto Bernama
Mohd Jafni (tiga kanan) mengiringi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi melancarkan Kedai Kos Sederhana UDA Vista sempena Majlis Perasmian Pameran Hartanah Johor 2025 pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri telah mengenal pasti beberapa kawasan parkir swasta di sekitar Johor Bahru dan Iskandar Puteri untuk dikhaskan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, langkah itu diharap dapat membantu menyelesaikan isu penggunaan lot parkir di hadapan restoran dan premis perniagaan di sekitar bandar raya.

"Ini adalah hasil kerjasama pasukan petugas bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

“Hasil perbincangan di peringkat task force ini, beberapa lokasi parkir swasta telah dikenal pasti untuk ditawarkan kepada pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura. Jadi, kita akan teruskan dengan perancangan itu bagi menyelesaikan isu parkir yang semakin meruncing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ekspo Hartanah Johor di Angsana Mall di sini pada Jumaat.

Menurut Mohd Jafni, kerajaan negeri sedang meneliti kaedah pewartaan parkir khas di kawasan tumpuan seperti Larkin dan Taman Ungku Tun Aminah, yang sering dijadikan tempat meletak kenderaan oleh pekerja yang berulang-alik ke republik itu.

“Setakat ini, kita telah mengenal pasti kira-kira 2,000 lot parkir di tapak parkir swasta yang baharu. Saya kira jumlah ini masih tidak mencukupi, namun ia adalah berpusat," katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga akan berbincang dengan pengusaha bas ulang-alik termasuk bas kilang dan pengangkutan ke kawasan industri di Singapura bagi memudahkan perjalanan mereka.

“Bila mereka lihat ada tempat parkir yang tidak mengenakan bayaran, di situlah mereka tinggalkan kenderaan mereka. Tapi bila kita kenakan caj, mungkin kita boleh tahu sama ada mereka bekerja di Singapura atau tidak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!