Tanaman padi lima musim dua tahun perlu segera dilaksana secara bersepadu - PM

Anwar. Foto Bernama
Anwar. Foto Bernama
A
A
A

JERLUN - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kerajaan negeri dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bertindak segera secara bersepadu bagi menjayakan program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun.

Beliau berkata, inisiatif ini penting untuk meningkatkan keupayaan pesawah tempatan selain memastikan hasil tuaian padi negara kekal mampan.

“Inisiatif ini amat dekat di hati saya. Justeru, pelaksanaan yang pantas dan penyelarasan yang berkesan amat penting untuk menjayakan projek ini,” katanya selepas meninjau kemajuan projek pembangunan infrastruktur bagi menyokong program penanaman padi lima musim dalam dua tahun di Kawasan MUDA, di Batu 7, Kampung Kemboja, Ayer Hitam, pada Jumaat.

Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Anwar yakin ikhtiar berani Kerajaan Madani ini akan membawa reformasi menyeluruh kepada ekosistem industri padi dan beras negara, selain mengurangkan kebergantungan kepada import serta memperkukuh kadar sara diri beras negara.

“Kerajaan Madani sentiasa mendengar suara pesawah, memahami keperluan mereka dan berazam untuk terus memperkasa sektor ini melalui pelbagai sokongan serta inisiatif berterusan,” katanya.

Menurut beliau, usaha itu membuktikan keprihatinan dan kesungguhan kerajaan membela nasib pesawah yang menjadi tulang belakang sektor agromakanan negara.

Lawatan tersebut merupakan kunjungan kali kedua Perdana Menteri ke tapak projek berkenaan bagi meninjau kemajuan semasa pembangunan infrastruktur pertanian sebagai persediaan ke arah pelaksanaan pertanian pintar, selari dengan usaha kerajaan memperkukuh bekalan makanan negara dan meningkatkan pengeluaran beras tempatan.

Projek yang sedang dilaksanakan ini memberi tumpuan kepada penaiktarafan sistem pengairan dan saliran serta pemerkasaan penggunaan teknologi moden dalam sektor penanaman padi.

Artikel Berkaitan:

la dilaksanakan melalui pendekatan kerjasama awam swasta, yang bukan sahaja menyokong intensifikasi aktiviti penanaman, malah mampu meningkatkan hasil produktiviti pesawah dan menambah pendapatan mereka.

Program ini juga dilihat sebagai usaha strateglk untuk membawa reformasi besar dalam industri padi dan beras negara, sejajar dengan matlamat Kerajaan Madani.

Menurut kenyataan dikeluarkan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), dengan pelaksanaan lima musim penanaman dalam tempoh dua tahun, negara dijangka mampu mengurangkan kebergantungan kepada beras import dan meningkatkan tahap sara diri (SSL) bagi komoditi strategik ini.

Projek pembangunan ini merangkumi dua komponen utama, iaitu pembinaan dan penyelenggaraan 15 Blok Sistem Pengairan Tersier (projek 1) serta Projek Pemulihan Menyeluruh Empangan Pedu Fasa 1 (projek 2), melibatkan peruntukan keseluruhan RM1 bilion.

Pelaksanaannya dijangka memberi pesawah harapan untuk mendepani cabaran perubahan iklim yang sedang dihadapi dunia dan juga negara kita.

“Kerajaan Madani melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyasarkan agar manfaat projek ini dapat dirasai secara langsung oleh pesawah, khususnya dari segi peningkatan hasil tuaian dan jaminan pendapatan lebih mampan.

“Pada masa sama, kestabilan harga beras tempatan dan kebajikan pesawah akan terus menjadi keutamaan,” kata kenyataan itu lagi.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!