Chow Kit jadi 'sarang' PATI, 500 sudah ditahan

JIM Kuala Lumpur melaksanakan Op Kutip di sekitar Chow Kit pada Jumaat.
JIM Kuala Lumpur melaksanakan Op Kutip di sekitar Chow Kit pada Jumaat.
A
A
A

 

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan kira-kira 500 pendatang asing tanpa izin (PATI) di Chow Kit di sini sejak Januari tahun ini.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, statistik setakat 24 Julai (Khamis) mendapati lokasi terbabit antara lokasi ‘panas’ bagi warga asing di ibu negara.

Menurutnya, tangkapan itu hasil pemantauan dan operasi berterusan JIM Kuala Lumpur di ibu negara dan di Chow Kit khususnya bagi menangani masalah PATI.

“Sejak Januari operasi terus digiatkan dan keberkesanannya jelas apabila ramai warga asing kini mula rasa tidak selesa tinggal secara haram di negara ini.

“Berdasarkan statistik JIM Kuala Lumpur, kawasan sekitar Chow Kit merupakan lokasi ‘hotspot’ utama. Operasi dilakukan di kawasan ini setiap dua minggu dan setiap kali operasi, dianggarkan 50 hingga 100 orang ditahan,” katanya di sini selepas mengetuai Ops Kutip di sini pada Jumaat.

Mengulas mengenai operasi bermula kira-kira jam 1.15 pagi, beliau berkata, 72 disyaki PATI telah ditahan.

Tambahnya, mereka terdiri daripada 28 lelaki dan 26 wanita warga Indonesia, lelaki Myanmar (2), lelaki Bangladesh (11), lelaki India (2), lelaki Nepal (1) dan lelaki Pakistan (2).

"Turut ditahan enam warga tempatan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

JIM Kuala Lumpur melaksanakan Op Kutip di sekitar Chow Kit pada Jumaat.
JIM Kuala Lumpur melaksanakan Op Kutip di sekitar Chow Kit pada Jumaat.

Kata beliau, warga asing terbabit tinggal menyewa beramai-ramai di premis rumah kedai di sekitar Chow Kit dengan bayaran bermula RM300 hingga ke RM500.

“Rata-rata mereka bekerja di kawasan sekitar dan bekerja sebagai pekerja restoran, pembersihan dan ada juga yang bekerja sendiri," ujarnya.

Jelasnya, JIM Kuala Lumpur akan mengesan pemilik premis berkenaan yang melindungi PATI terbabit untuk dikenakan tindakan.

Mengulas mengenai Program Repatriasi Migran (PRM) 2.0, kata beliau, warga asing yang ‘kosong’ digesa supaya merebut peluang ini untuk pulang ke negara asal masing-masing secara sukarela.

Katanya, alternatif itu adalah jalan terbaik bagi mengelak daripada menerima hukuman penjara sekiranya warga asing terbabit ditahan pihak berkuasa.

“Imigresen Kuala Lumpur menyeru kepada semua warga asing di luar sana supaya mengambil peluang menyertai PRM 2.0 yang masih berjalan sehingga April 2026.

“Jangan tunggu sehingga ditahan, jika ditahan, tindakan undang-undang yang lebih keras akan dikenakan. Gunakan peluang balik secara sah melalui PRM dengan bayaran hanya RM500 serta tambahan RM20 untuk pas khas,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!