Chalet terbakar: Hiasan ayat Kursi tidak hangus

BACHOK – “Semua musnah, hanya tinggal ayat Kursi yang terletak elok di dinding.”
Demikian kata Abdullah Mohamed, 67, apabila empat unit chalet miliknya berusia lebih 30 tahun hangus dalam kebakaran di Kampung Pulau Belongan berhampiran Pantai Irama di sini pada Jumaat.

Turut terbakar rumah didiaminya dan sebuah lagi rumah jiran yang kedua-duanya terletak bersebelahan chalet tersebut.
Lebih menyedihkan, wang tunai berjumlah lebih RM15,000 hasil perniagaan dan kereta jenis Proton Saga turut musnah dalam kejadian sekitar jam 3.30 pagi.
“Saya terjaga daripada tidur sebab terdengar pekerja di luar rumah menjerit selain terdengar bunyi letupan kecil dan segera capai kunci kereta, tendang pagar untuk keluar.
“Duit dalam beg langsung tak sempat ambil, tapi ayat Kursi yang tergantung di dinding chalet sejak empat tahun lalu masih elok dan tak terbakar,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian terletak kira-kira 20 meter dari pantai.

Menurut Abdullah, api dipercayai bermula dari salah satu chalet dan pantas merebak ke struktur bersebelahan.
“Chalet ni saya bina sejak lebih 30 tahun lalu dan memang banyak kenangan.

“Biasanya hujung minggu sebegini ramai pelanggan menginap, tapi kebetulan semalam tak ada,” katanya.
Sementara itu, jirannya, Pembantu Perawatan Kesihatan, Shamsaimon Jaafar, 57, berkata dia isterinya, Ruzila Omar, 43, dan empat anak berada di rumah mentua di Kota Bharu selepas anak perempuan kedua mereka berusia 14 tahun tiba-tiba mengajak bermalam di sana.
“Sepatutnya kami nak ke sana petang Jumaat ini, tapi anak merajuk dan ajak balik malam tadi juga.
“Kami ikutkan saja, tak sangka itu hikmah menyelamatkan nyawa kami sekeluarga,” katanya.
Menurutnya, dia terkejut apabila melihat video rumahnya terbakar yang tular dalam kumpulan WhatsApp masjid sekitar jam 6.34 pagi sebelum dihubungi adik pemilik chalet memaklumkan kejadian.
“Saya terus bergegas pulang dan terduduk tengok semua dah hangus.
“Buku sekolah anak-anak dan uniform mereka semua hangus,” katanya.

Shamsaimon berkata, anak sulungnya berusia 16 tahun berada di Kolej Vokasional Tangok, manakala tiga lagi masing-masing berusia 14, 12 dan 10 tahun bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Nipah serta Sekolah Kebangsaan Bachok.

Tambahnya, keluarganya kini menumpang sementara di salah satu unit chalet lebih jauh dan tidak terjejas.
“Saya baru kena strok ringan dua bulan lalu, tapi saya reda. Nyawa lebih penting. Anak-anak semua selamat, itu paling saya syukuri,” katanya.
Setakat ini, jumlah kerugian dialami mangsa dianggarkan melebihi RM100,000 dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

