Jakim nafi punca lewat sijil halal

Sirajuddin
Sirajuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menafikan dakwaan bahawa kelewatan pihaknya menyebabkan isu sijil halal melibatkan kontrak katering bernilai RM25.64 juta di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM) berlaku.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee menjelaskan bahawa siasatan mendapati berlaku salah faham berhubung pegawai bertanggungjawab (PIC) dalam permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

“Individu yang dianggap sebagai PIC itu sebenarnya merupakan pegawai syarikat katering, bukan daripada Jakim.

"Beliau sedang bercuti bersalin dan syarikat telah mencalonkan pengganti. Bagaimanapun, individu pengganti perlu melalui latihan terlebih dahulu sebelum melaksanakan tugas sebagai Eksekutif Halal,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 yang melaporkan bahawa HCTM menganugerahkan kontrak katering bernilai RM25.64 juta kepada syarikat dinamakan sebagai 0267299-T yang tidak mempunyai sijil halal daripada Jakim.

Laporan itu turut memaklumkan bahawa syarikat berkenaan dianugerahkan kontrak bagi membekalkan makanan kepada pesakit hospital terbabit selama tiga tahun bermula Februari 2024.

Berikutan itu, Sirajuddin sebelum ini memberi jaminan bahawa Jakim akan mendapatkan maklumat terperinci berhubung kes tersebut.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Jakim telah mengadakan pertemuan dengan pihak hospital untuk mendapatkan maklumat lanjut serta memberi penerangan berhubung proses permohonan SPHM bagi mengelakkan kekeliruan dan memperkukuhkan kefahaman.

Menurutnya, sebagai agensi pensijilan halal utama negara, Jakim sentiasa memastikan urusan SPHM dilaksanakan secara telus dan berintegriti mengikut piawaian yang ditetapkan, sejajar dengan prinsip tadbir urus Malaysia Madani.

Artikel Berkaitan:

“Pihak hospital juga memberi jaminan akan terus mematuhi semua prosedur pensijilan halal demi kemaslahatan ummah,” katanya.

Sirajuddin turut menegaskan bahawa Jakim komited untuk terus mendidik dan memudah cara pematuhan halal serta terbuka memberi penjelasan kepada mana-mana pihak demi memperkasa kesedaran dan tanggungjawab masyarakat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!