Umpan aiskrim sebelum cabul kanak-kanak lima tahun, sarjan tentera direman

ALOR GAJAH - Seorang sarjan tentera direman lima hari oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat kerana disyaki mencabul kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.
Perintah reman terhadap suspek berusia 32 tahun itu dikeluarkan Majistret Dr Teoh Shu Yee.
Suspek yang juga bapa kepada seorang cahaya mata pernah berdepan lima pertuduhan termasuk merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar perempuan tingkatan satu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Melaka yang juga kakak kepada kanak-kanak lima tahun itu.
Sumber berkata, selepas kejadian itu kanak-kanak terbabit menceritakan perbuatan jijik suspek kepada ibunya yang berlaku di kawasan taman perumahan mereka pada petang Januari lalu.
Menurutnya, ketika itu mangsa dalam perjalanan pulang dari tadika dan suspek telah membawa mangsa bersiar-siar di kawasan taman perumahan didiami dengan menaiki keretanya.
"Suspek membawa mangsa membeli aiskrim dan selepas itu dia akan memeluk, mencium pipi dan mulut serta menyentuh kemaluan anak bongsu daripada lima beradik itu.
"Mangsa mendakwa sering diperlakukan begitu oleh suspek yang mengumpannya dengan membeli aiskrim sebelum mencabul," katanya.
Ujarnya, berdasarkan laporan polis yang dibuat keluarga mangsa, suspek berjaya ditahan pada petang Khamis bagi mendapatkan perintah reman dan membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

