Jurutera wanita putih mata RM178,200 lesap

Mangsa telah membuat sebanyak 19 transaksi ke tiga akaun bank berbeza dari 20 Mac hingga 15 Julai 2025 dengan nilai keseluruhannya berjumlah RM178,200. Gambar hiasan.
Mangsa telah membuat sebanyak 19 transaksi ke tiga akaun bank berbeza dari 20 Mac hingga 15 Julai 2025 dengan nilai keseluruhannya berjumlah RM178,200. Gambar hiasan.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Seorang jurutera wanita berusia 33 tahun berputih mata apabila wang pelaburannya berjumlah RM178,200 lesap gara-gara terperangkap dalam pelaburan saham dalam talian.

Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak pihaknya menerima laporan mengenai perkara tersebut pada 24 Julai lalu.

Beliau berkata, kejadian dipercayai bermula sekitar Mac 2025 apabila mangsa tertarik dengan satu iklan pelaburan saham yang dilihatnya di aplikasi Telegram.

“Kerana tertarik dengan pulangan lumayan yang dijanjikan, mangsa kemudiannya telah menekan pautan yang disertakan dan dijanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.

"Seterusnya mangsa telah membuat sebanyak 19 transaksi ke tiga akaun bank berbeza dari 20 Mac hingga 15 Julai 2025 dengan nilai keseluruhannya berjumlah RM178,200.

“Mangsa turut diminta membuat bayaran tambahan bagi mengeluarkan keuntungan pelaburan namun usaha itu gagal apabila mangsa akhirnya sedar telah ditipu apabila wang pelaburannya langsung tidak dapat dikembalikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Mohd Sohaimi, siasatan awal menerusi semakan platform Semak Mule CCID mendapati ketiga-tiga akaun terlibat memiliki sebanyak 21 rekod laporan polis berkaitan kes penipuan pelaburan.

Katanya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Siasatan juga akan meliputi kemungkinan pembabitan 'keldai akaun' dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun yang dikenal pasti terlibat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Sohaimi menasihatkan orang awam agar lebih berwaspada terhadap sebarang pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.

"Jangan mudah terpedaya dengan janji manis keuntungan segera tetapi semak dahulu kesahihan syarikat atau individu melalui Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebelum membuat sebarang pembayaran.

“Elakkan juga daripada memberikan maklumat peribadi atau perbankan kepada pihak tidak dikenali.

"Gunakan juga portal Semak Mule untuk menyemak nombor akaun yang mencurigakan," katanya.

 

 

"Orang ramai juga digesa mengikuti media sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) seperti Facebook, Instagram dan TikTok untuk mengetahui taktik terkini jenayah penipuan komersial.

 

 

“Sekiranya telah menjadi mangsa penipuan, segera hubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 bagi tindakan awal menyekat pengaliran keluar wang daripada akaun suspek,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!