Gara-gara elak basikal, tiga kenderaan termasuk bas persiaran kemalangan

MELAKA - Gara-gara mengelak sebuah basikal menyebabkan penunggang dan pembonceng motosikal Yamaha Y15ZR cedera dilanggar kereta di atas Jambatan Syed Abdul Aziz di sini, pada pagi Jumaat.
Kejadian yang berlaku jam 10.20 pagi itu membabitkan tiga buah kenderaan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca apabila motosikal yang melalui jambatan itu cuba mengelak basikal yang turut melalui jambatan berkenaan.
Bagaimanapun menurutnya, ketika mengelak, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima yang berada di belakang dari arah sama tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal berkenaan.
"Kemalangan itu juga menyebabkan sebuah lagi bas persiaran tidak sempat mengelak lalu merempuh belakang MPV tersebut.
"Akibat kemalangan itu, penunggang dan pembonceng motosikal telah mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Melaka untuk dapatkan rawatan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya, namun setakat ini kesemua mangsa yang terlibat belum membuat laporan polis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

