Bakal peguam syariah tidak malu miliki nama mirip ikan

Nurul Patin berkongsi nama unik dimiliknya.
Nurul Patin berkongsi nama unik dimiliknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pelajar wanita berasal dari Ladang Jeroco, Lahad Datu, Sabah bangga mempunyai nama unik yang mirip dan sinonim dengan ikan air tawar.

Nurul Patin Sarhana Razid, 27, berkata, bapanya secara tidak sengaja menamakan dirinya 'Patin’ semasa sesi pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menurutnya, nama asal yang sepatutnya didaftarkan adalah Nurul Fatin Farhana Razid seperti yang telah ditulis oleh ibunya di atas sekeping kertas.

"Tapi, segalanya berubah apabila bapa secara tidak sengaja hilangkan kertas tu ketika sarapan di kedai kopi sebelum buat pendaftaran.

"Jadi, ketika daftar dekat JPN, ayah letak Patin Sarhana asal kena dengan bunyi. Tambahan pula, bapa memang merupakan kaki pancing dan memang ingat ikan patin sahaja," katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, video dikongsikan wanita terbabit berkaitan namanya menerusi akaun TikTok @patinsar telah meraih 1.6 juta tontonan dengan 110,300 tanda suka.

Razid menamakan anak sulungnya Nurul Patin selepas kertas mencatatkan nama ingin diberikan kepada anak perempuannya hilang.
Razid menamakan anak sulungnya Nurul Patin selepas kertas mencatatkan nama ingin diberikan kepada anak perempuannya hilang.

Bagaimanapun, Nurul Patin turut memberitahu tidak berasa malu atau tersinggung dengan nama lain daripada lain diberikan bapanya yang dikaitkan dengan ikan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Kongsi anak sulung daripada lima beradik yang kini menjalani tempoh chambering dalam bidang syariah di Tawau itu, dia berbangga memandangkan nama Patin dimiliki merupakan satu-satunya dalam Malaysia.

Menurutnya lagi, dia juga mempunyai hobi memancing seperti bapa tercinta, malah sering menemani lelaki tersebut menangkap ikan sebelum ini.

"Masa ikut bapa memancing waktu kecil, kami pernah dapat ikan patin dan dia beritahu, itulah ikan seperti nama saya," ujarnya lagi.

Nurul Patin memaklumkan, dia juga tidak terasa hati apabila digelar ikan patin, malah akan memperbetulkan dan memaklumkan namanya yang betul apabila ada individu memanggilnya dengan nama Fatin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!