Siti Saleha belum bersedia kongsi berita kehamilan

AKTRES Siti Saleha memilih untuk tidak mengesahkan mahupun menafikan dakwaan bahawa dirinya kini sedang berbadan dua.
Menurut pemilik nama penuh Siti Saleha Mohd Baharum, 35, dia masih belum bersedia untuk berkongsi sebarang berita buat masa ini dan berharap agar orang ramai terus menitipkan doa yang baik.
“Doakan yang baik-baik, insya-ALLAH mungkin berita gembira tak lama lagi.
“Cuma buat masa ini saya belum bersedia lagi nak kongsi,” katanya ketika ditemui di set penggambaran drama bersiri Bad Cop pada Rabu.

Menariknya, bintang 7 Hari Mencintaiku itu turut memberi bayangan bahawa projek drama tersebut akan menjadi karya terakhirnya sebelum berehat panjang.
“Selepas ini saya akan bercuti panjang dan ini akan jadi projek terakhir saya sebelum berehat.
“Panjang juga... mungkin beberapa bulan atau tahun,” jelasnya.
Terdahulu, semasa menghadiri acara Malaysia International Film Festival pada Ahad lalu, penampilan Saleha mencetuskan spekulasi dalam kalangan peminat yang mendakwa aktres itu hamil susulan kelihatan seperti ‘baby bump’ pada busana digayakan.
Untuk rekod, Saleha kembali bergelar isteri kepada pereka fesyen, Joshua Fitton pada Februari lalu selepas tiga tahun bergelar solo.
Sebelum ini, adik kepada penyanyi Sam Bunkface itu pernah mendirikan rumah tangga dengan Ahmad Lutfi Azhar pada 28 Julai 2017, namun berpisah empat tahun kemudian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

