'Sudah tiba masa Johor jadi pemilik, bukan lagi penyumbang' - Exco

JOHOR BAHRU – Kerajaan Persekutuan digesa memulangkan sekurang-kurangnya 25 peratus hasil cukai pendapatan yang dikutip dari Johor kepada negeri ini, selaras dengan titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, sudah tiba masanya Johor dilayan sebagai 'pemilik', bukan sekadar 'penyumbang' kepada ekonomi negara.
“Cukuplah Johor menjadi negeri penyumbang utama kepada ekonomi negara, namun terus terpinggir apabila berdepan masalah infrastruktur dan keperluan asas.
"Apakah wajar apabila hospital seperti di Pasir Gudang yang sudah siap dibina, masih perlu menunggu hampir setengah tahun hanya kerana kekangan kelulusan dan peruntukan Persekutuan?
“Apakah adil apabila sistem di pintu masuk utama negara seperti BSI dan KSAB terus gagal, hingga mencemarkan imej Johor di mata dunia? “Kita sudah terlalu lama bersabar,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
ADUN Larkin itu menjelaskan sebagai Exco Kerajaan Negeri, beliau menyokong penuh titah Tunku Mahkota Ismail dan menegaskan bahawa pulangan 25 peratus hasil cukai pendapatan Johor bukan lagi pilihan, tetapi kewajipan.
“Dengan hasil ini, Johor mampu berdiri atas kaki sendiri. Kita boleh percepatkan pembinaan infrastruktur, membaik pulih kemudahan asas, dan paling penting, memperkasa masa depan anak muda melalui pelaburan dalam fasiliti dan pembangunan sukan.
“Hari ini, banyak aset sukan di Johor memerlukan penaiktarafan. Kita perlukan lebih banyak kompleks sukan di daerah, kolam renang, gimnasium, velodrom, dan padang futsal tertutup.
“Kita mahu lahirkan atlet bertaraf dunia, bukan dengan angan-angan, tapi dengan pelaburan yang cukup dan tersusun,” katanya.
Tambah Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia itu lagi, semua usaha berkenaan sukar dicapai jika Johor terus dinilai hanya sebagai 'penyumbang', bukan 'pemilik hak'.
“Saya bersama Tunku Mahkota Ismail dan seluruh Bangsa Johor dalam tuntutan ini. Cukuplah Johor menunggu. Cukuplah Johor meminta-minta.
"Sudah tiba masa Johor mendapat haknya iaitu 25 peratus hasil cukai untuk Johor, demi Bangsa Johor!” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


