Perkhidmatan feri percuma sempena Hari Kebangsaan, Hari Malaysia

GEORGE TOWN - Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) mengumumkan perkhidmatan feri percuma kepada warganegara Malaysia pada 31 Ogos serta 15 dan 16 September ini sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Pengerusi SPPP, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, ia sebagai tanda sokongan terhadap pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim khususnya inisiatif memberikan hari kelepasan am tambahan sempena sambutan Hari Malaysia yang akan diadakan di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth pada 16 September.
"Perkhidmatan feri percuma ditawarkan pada tiga tarikh penting itu menunjukkan komitmen SPPP sebagai Pihak Berkuasa Pelabuhan dan Badan Kawal Selia Pelabuhan serta Penang Port Sdn Bhd (PPSB) selaku operator pelabuhan dalam menggalakkan rakyat Malaysia untuk menggunakan mod pengangkutan awam semasa menyambut peristiwa penting.
"Selain itu, inisiatif ini turut dapat membantu mengurangkan beban rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Soon Hin berkata, pihaknya turut menyambut baik kesungguhan kerajaan dalam memperkenalkan langkah-langkah strategik yang bukan sahaja berupaya mengurangkan beban sara hidup, malah turut mencerminkan komitmen tinggi dalam menghargai dan meraikan rakyat Malaysia
Pada Rabu, Anwar mengumumkan beberapa inisiatif utama sebagai tanda penghargaan Kerajaan Madani kepada rakyat termasuk pemberian RM100 secara sekali beri di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), penangguhan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya dan harga RON95 yang lebih rendah pada RM1.99 seliter.
Beliau yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan 15 September ini sebagai hari kelepasan am tambahan bersempena sambutan Hari Malaysia pada tahun ini bagi menghargai ukhuwah perpaduan dan keistimewaan pembentukan Malaysia. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
