Hormati Institusi Raja demi kestabilan negara - TYT Pulau Pinang

GEORGE TOWN - Penghormatan terhadap institusi Raja Berperlembagaan perlu terus dipertahankan sebagai asas penting dalam pembinaan negara bangsa serta menjamin kestabilan sistem kenegaraan.
Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib berkata, institusi beraja bukan sekadar lambang warisan sejarah, tetapi juga sebahagian daripada struktur pemerintahan yang menjamin keseimbangan antara kuasa, tanggungjawab dan hak rakyat.
"Prinsip ini turut termaktub dalam salah satu daripada lima Rukun Negara yang perlu difahami, dihargai dan dipelihara dengan penuh rasa tanggungjawab.
"Institusi Raja adalah penjaga keluhuran Perlembagaan, pemelihara nilai tradisi serta penyatu rakyat dalam semangat patriotisme yang luhur," katanya ketika berucap pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri sempena sambutan Hari Ulang Tahun Rasmi ke-84 Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang, di sini pada Sabtu.
Tun Ramli turut menyeru seluruh rakyat Pulau Pinang agar menzahirkan rasa hormat terhadap institusi tersebut bukan hanya melalui kata-kata, tetapi juga dengan sikap, kefahaman serta penghayatan ikhlas dalam kehidupan seharian.
"Sebagaimana pohon yang teguh akarnya tidak mudah tumbang dipukul ribut, demikian jugalah institusi kenegaraan yang berteraskan prinsip Raja Berperlembagaan.
"Ia akan terus kukuh sekiranya rakyat terus berpegang kepada asas yang sama," katanya lagi.
Dalam masa sama, sempena sambutan Bulan Kebangsaan yang akan disambut pada Ogos depan, Tun Ramli menyeru agar seluruh rakyat menjadikan detik tersebut sebagai wadah memperteguh semangat kemerdekaan dan memupuk kecintaan terhadap tanah air.
“Kemerdekaan bukan hanya warisan sejarah, tetapi satu tanggungjawab bersama dalam memelihara keamanan, menghargai kebebasan serta mempertahankan kemajuan yang telah kita capai.
"Semangat patriotisme yang ikhlas dalam jiwa rakyat adalah benteng terkuat dalam mempertahankan kedaulatan negara,” tambahnya.
Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri akan berlangsung selama empat hari bermula 26 hingga 30 Julai ini, melibatkan seramai 1,530 penerima, termasuk 150 penerima Darjah Kebesaran serta 1,380 penerima Bintang dan Pingat Kehormatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

