Perkhidmatan feri percuma sempena Aidilfitri

SPPP dan PPSB menawarkan perkhidmatan feri percuma kepada penumpang warganegara Malaysia pada 29 dan 30 Mac ini. Gambar kecil: Soon Hin
SPPP dan PPSB menawarkan perkhidmatan feri percuma kepada penumpang warganegara Malaysia pada 29 dan 30 Mac ini. Gambar kecil: Soon Hin
A
A
A

GEORGE TOWN - Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) menawarkan perkhidmatan feri percuma kepada penumpang warganegara Malaysia pada 29 dan 30 Mac ini.

Pengerusi SPPP, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, dengan perkhidmatan feri percuma itu, pihaknya berharap agar ia dapat mengurangkan beban kewangan rakyat Malaysia dan memberikan peluang untuk merayakan Aidilfitri dengan lebih ceria dan penuh bermakna.

Menurutnya, SPPP dan PPSB sentiasa komited dalam mengambil pelbagai langkah untuk memastikan perkhidmatan feri ini berjalan lancar.

"Inisiatif ini bertujuan memudahkan perjalanan orang ramai serta mengurangkan kesesakan lalu lintas selain menggalakkan penggunaan pengangkutan awam yang lebih lestari.

"Perkhidmatan ini boleh dinikmati di kedua-dua terminal feri iaitu Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) dan Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal dan merujuk jadual feri terkini melalui laman sesawang serta media sosial rasmi SPPP dan PPSB.

"Berdasarkan statistik sambutan Aidilfitri tahun lalu, lebih 27,801 penumpang pejalan kaki dan 5,740 kenderaan dua roda telah menggunakan perkhidmatan feri. Ia mencerminkan permintaan tinggi terhadap mod pengangkutan ini.

"SPPP dan PPSB berharap kemudahan ini dapat mengurangkan beban kewangan rakyat, sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk meraikan Aidilfitri dengan lebih ceria.

"Pihak berkuasa pelabuhan juga memberi jaminan bahawa aspek keselamatan, keselesaan dan kepuasan pelanggan akan terus menjadi keutamaan sepanjang perkhidmatan feri ini beroperasi," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!