Sistem e-Tanah bantu lancarkan urusan tanah rakyat Terengganu

KUALA TERENGGANU - Pelaksanaan sistem e-Tanah di Terengganu membantu melancarkan pelbagai urusan berkaitan tanah secara lebih sistematik melalui perkhidmatan yang boleh diakses secara digital dengan lebih cepat, mudah dan telus.
Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, sistem yang mula dilaksanakan pada September 2024 itu membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk memperkasakan urus tadbir tanah menerusi pendekatan moden dan mesra rakyat.
“e-Tanah bukan sekadar sistem digital, tetapi penyelesaian menyeluruh yang menyatukan semua proses berkaitan tanah di bawah satu platform bersepadu.
“Ia membolehkan orang ramai melakukan pelbagai urusan tanpa perlu hadir ke pejabat tanah, sekali gus melancarkan proses dan menjimatkan masa,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini.
Beliau berkata, pelaksanaan sistem e-Tanah di Terengganu merupakan hasil kerjasama awam-swasta yang melibatkan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Terengganu dan syarikat Puncak Tegap Sdn Bhd (Puncak Tegap) menerusi model perniagaan Build, Maintain and Transfer (BMT) dengan syarikat Puncak Tegap sebagai pelaksana utama.
“Di bawah kaedah ini, Puncak Tegap menanggung sepenuhnya kos pembangunan dan penyelenggaraan sistem e-Tanah selama 14 tahun, merangkumi tempoh dua tahun pembangunan dan 12 tahun operasi.

“Model ini membolehkan kerajaan melaksanakan transformasi digital tanah tanpa menanggung beban kewangan secara langsung, sebaliknya memberi tumpuan kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap kepada rakyat,” katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan sistem itu turut memberi kesan langsung kepada hasil negeri dengan peningkatan kutipan sebanyak 13 peratus iaitu meningkat kepada RM76 juta setakat 31 Mei 2025, berbanding RM68 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Katanya, kerajaan negeri kini sedang giat mempromosi sistem itu untuk mencapai sasaran 20,000 pengguna berdaftar menjelang hujung tahun ini.
“Sistem ini menyediakan sembilan modul utama termasuk e-Carian, Permohonan Online, e-Semakan dan Bayaran Cukai Tanah di mana semuanya boleh diakses melalui Portal Awam e-Tanah.
“Selain melancarkan urusan tanah rakyat tanpa karenah birokrasi dan menjimatkan masa, ia juga menyediakan perkhidmatan yang lebih efisien, mesra pengguna termasuk kepada golongan yang belum mahir menggunakan sistem.
Cabutan bertuah bernilai RM240,000 Tun Ahmad Faisal berkata, selaras dengan hasrat memperluaskan transaksi digital, kerajaan negeri turut melaksanakan kempen Jom Bayar Cashless Pejabat Tanah 2025 yang menggalakkan pembayaran cukai secara dalam talian sehingga 31 Julai 2025.
“Pembayar boleh menggunakan pelbagai saluran termasuk FPX, TPay, JOMPAY atau kad kredit. Sebagai galakan, cabutan bertuah bernilai RM240,000 juga ditawarkan kepada mereka yang melunaskan bayaran secara tanpa tunai,” ujarnya.
Katanya, orang ramai tidak perlu bimbang kerana sistem itu turut dilengkapi dengan ciri keselamatan digital kukuh bagi melindungi data peribadi pengguna serta memastikan segala transaksi dan maklumat berkaitan urusan tanah disimpan secara selamat dan sulit.
“Kita mahu semua rakyat Terengganu dapat menikmati urusan yang lebih lancar, cepat dan telus serta keselamatan yang lebih terjamin bagi setiap urusan berkaitan tanah di mana Terengganu merupakan negeri keempat yang telah menggunakan sistem ini,” ujarnya.
Layari portal rasmi Pejabat PTG Terengganu atau PTD Daerah untuk maklumat lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
