Pelaksanaan sistem tunggal mudahkan pelajar, ibu bapa - PIBGN

Mohamad Ali
Mohamad Ali
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan sistem tunggal kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sekolah khusus bukan sahaja memudahkan urusan permohonan pelajar, malah menjimatkan masa, wang serta tenaga ibu bapa.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, langkah itu sepatutnya sudah dilaksanakan lebih awal bagi mengelakkan pertindihan tawaran dan pembaziran sumber.

“Jika dibandingkan dengan sistem sedia ada, prosesnya lebih rumit dan membazir disebabkan pemohon perlu mengisi dua permohonan iaitu satu untuk SBP, satu permohonan lain untuk MRSM.

“Kemudiannya, ada pemohon perlu mengikut ujian berbeza dan ia mengambil masa, sekali gus membebankan mereka untuk mengisi borang berbeza. Ibu bapa perlu membelanjakan sejumlah wang ringgit untuk anak menghadiri temuduga,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Pada Rabu, media melaporkan pelaksanaan sistem tunggal bagi penawaran penempatan pelajar ke SBP, MRSM dan sekolah khusus bermula pada tahun depan bertujuan untuk menangani pertindihan tawaran.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi satu kenyataan memaklumkan, perkara itu disepakati bersama Mara bagi memastikan pelajar yang benar-benar layak mendapat tempat.

Mengulas lanjut Mohamad Ali berkata, sistem tunggal memberikan peluang lebih adil kepada pelajar lain yang benar-benar berminat, selain mengelakkan kekosongan tempat akibat pertindihan tawaran.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa pemilihan sekolah perlu dibuat dengan teliti dan disertai bimbingan daripada guru, ibu bapa atau kaunselor supaya pelajar membuat keputusan yang tepat.

Dalam masa sama, Mohamad Ali berharap kriteria pemilihan bukan sekadar berdasarkan akademik, tetapi turut mengambil kira latar belakang keluarga, pendapatan isi rumah serta penglibatan dalam kokurikulum terutamanya bagi pelajar dari luar bandar dan pedalaman.

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!