Karnival Mega 3 Dimensi 2025 himpun tiga program dalam satu platform

Ahmad Zahid (tengah) ketika sidang taklimat khas di Bangunan Ahli Parlimen pada Khamis.
Ahmad Zahid (tengah) ketika sidang taklimat khas di Bangunan Ahli Parlimen pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyasarkan nilai transaksi jualan mencecah RM209 juta menerusi penganjuran Karnival Mega 3 Dimensi (MK3D) 2025 yang akan berlangsung dari 30 Julai hingga 2 Ogos ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, nilai transaksi tersebut meliputi jualan tunai, pembiayaan usahawan serta potensi padanan perniagaan yang turut melibatkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Felda.

Karnival mega bertemakan ‘Desaku Mendunia’ itu juga buat julung kalinya menggabungkan tiga program keusahawanan utama, iaitu Karnival Usahawan Desa (KUD), Hari Peneroka Felda, dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI).

“Melalui tiga kombinasi acara besar ini, bukan sahaja dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan, tetapi juga membuka akses seluas mungkin kepada usahawan untuk mempromosikan produk.

“Malah, program berskala besar ini diharap mampu menarik seramai dua juta pengunjung sepanjang lima hari penganjurannya.

“Secara keseluruhan, seramai 1,000 usahawan dalam pelbagai bidang akan terlibat dalam karnival ini yang bukan sekadar memfokuskan kepada pameran, tetapi turut merangkumi padanan perniagaan dan potensi pemasaran ke peringkat global,” katanya ketika taklimat khas bersama media di Bangunan Parlimen pada Khamis.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar dan Pengerusi Universiti Kuala Lumpur, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali.

Mengulas lanjut mengenai pemilihan tema ‘Desaku Mendunia’, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, penganjuran MK3D diyakini mampu meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran produk luar bandar secara menyeluruh.

“Tema ini bukan sekadar slogan retorik, tetapi mencerminkan aspirasi strategik kerajaan untuk mentransformasikan potensi luar bandar sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi bertaraf global.

Artikel Berkaitan:

“Melalui MK3D, kita mengarusperdana produk dan perkhidmatan luar bandar dalam ekosistem ekonomi nasional dan antarabangsa menerusi padanan perniagaan, pensijilan, pendigitalan serta pendedahan kepada jaringan pelabur dan pengedar global,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menggesa para usahawan, khususnya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), agar tidak bersaing menghasilkan produk yang sama.

Langkah ini, katanya, penting bagi mengelakkan lambakan produk di pasaran sehingga menjejaskan daya saing dan kelangsungan perniagaan.

“Kebanyakan usahawan PMKS bersaing sesama sendiri untuk mengeluarkan produk bagi pasaran yang sama, dan akhirnya berlaku lambakan sehingga menjejaskan keupayaan bertahan dalam pasaran,” tegasnya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!