Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 bermula esok, sedia pelbagai aktiviti menarik

Orang ramai boleh mencuba permainan go kart di Karnival Siang Malam Karangkraf 2025. Gambar kecil: Meen Tahrin
Orang ramai boleh mencuba permainan go kart di Karnival Siang Malam Karangkraf 2025. Gambar kecil: Meen Tahrin
A
A
A

SHAH ALAM - Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 membuka tirai esok dengan pelbagai pengisian menarik disediakan untuk pengunjung di Dataran Karangkraf, Seksyen 15 di sini bermula pada Jumaat hingga Ahad ini dari jam 9 pagi hingga 12 malam.

Antara aktiviti yang akan berlangsung selama tiga hari karnival berlangsung ialah rumah hantu, go- kart, Pasar Saloma, pertandingan-pertandingan melibatkan pelajar sekolah dan jualan buku yang menawarkan promosi menarik.

Pengarah projek, Meen Tahrin berkata, karnival itu dirancang untuk menjadi acara komuniti berskala besar yang memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk turut serta, khususnya penduduk di sekitar Lembah Klang.

Menurutnya, pelbagai acara telah disusun bagi memastikan karnival dimeriahkan dengan pengisian bermakna dan menghiburkan.

“Kami menyasarkan kehadiran pelajar pada Jumaat dan Sabtu kerana terdapat banyak pertandingan khusus untuk golongan ini seperti pertandingan bicara irama, inovasi 3R KDEB, pertandingan koir dan sebagainya.

Jualan buku turut diadakan sempena Karnival Siang Malam Karangkraf 2025.
Jualan buku turut diadakan sempena Karnival Siang Malam Karangkraf 2025.

"Ahad pula akan dimeriahkan dengan acara yang berbeza iaitu satu suasana yang lebih santai dan bersifat kekeluargaan.

"Paling menarik, malam pembukaan akan diserikan dengan majlis perasmian yang akan disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil selain pelepasan Sinar Harian Pyjamas Fun Walk yang disertai lebih 500 peserta," katanya pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, pengunjung Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 berpeluang memenangi hadiah eksklusif yang ditawarkan antaranya motosikal GJ motor LTR150, Benelli Panarea, tiket taman tema Berjaya Times Square Kuala Lumpur, barangan elektrik dan elektronik dari Russell Taylors serta banyak lagi menerusi cabutan bertuah.

Katanya, program ‘Sekolahku Meriah’ juga diperkenalkan bagi menyemarakkan lagi penyertaan dalam kalangan sekolah.

"Sekolah yang menghantar penyertaan pelajar paling ramai bakal membawa pulang wang tunai RM5,000 selain pelbagai hadiah menarik disediakan untuk pertandingan lain.

“Kami juga mengadakan jualan gudang buku sebagai tarikan tambahan. Ia sesuai dengan misi Karangkraf sebagai gedung ilmu untuk masyarakat,” jelasnya.

Pasar Saloma turut memeriahkan Karnival Siang Malam Karangkraf 2025.
Pasar Saloma turut memeriahkan Karnival Siang Malam Karangkraf 2025.

Meen memberitahu, Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 merupakan platform terbaik untuk komuniti berkumpul dan menyokong anak-anak mereka dalam pelbagai pertandingan.

"Oleh itu diharapkan ibu bapa dan orang ramai tidak akan melepaskan peluang untuk datang memberi sokongan sambil membawa anak-anak menyertai pelbagai aktiviti.

"Tidak rugi mengunjungi karnival ini memandangkan ia sesuai untuk seisi keluarga. Saya pasti bukan sahaja anak-anak yang dapat berhibur malah ibu bapa juga.

“Karangkraf bukan sahaja gedung ilmu, tetapi juga satu institusi yang merangkumi kokurikulum dan pembelajaran melalui buku. Kami mahu cetuskan suasana ilmu dalam suasana santai,” katanya.

Pelbagai kemudahan disediakan untuk kemudahan pengunjung Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 seperti shuttle dan bantuan kawalan trafik oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!