MBSA patuh arahan SIP, raih RM21.9 juta hasil parkir

Mohd Fauzi (kanan) ketika sesi sidang media di Wisma MBSA di Shah Alam pada Khamis
Mohd Fauzi (kanan) ketika sesi sidang media di Wisma MBSA di Shah Alam pada Khamis
A
A
A

SHAH ALAM – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mematuhi keputusan kerajaan negeri berhubung penyelarasan semula konsesi tempat letak kereta termasuk pelaksanaan sistem parkir pintar, Selangor Intelligent Parking (SIP).

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor akan melaksanakan dasar yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.

“Kita di Selangor, PBT menerima keputusan kerajaan negeri. Jadi, apa juga keputusan yang dibuat, kita akan patuhi dan laksanakannya dalam isu konsesi tempat letak kereta ini,” ujarnya dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis MBSA Ke-7 di Wisma MBSA, di sini pada Khamis.

Terdahulu, Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim menjelaskan bahawa SIP bukan sahaja bertujuan menambah baik sistem parkir PBT, malah merupakan komponen penting dalam agenda bandar pintar Selangor di bawah inisiatif Smart Selangor.

Beliau memberi jaminan bahawa pelaksanaannya tidak menggunakan model penswastaan tradisional, sebaliknya melibatkan kerjasama antara Menteri Besar Incorporated (MBI), Rantaian Mesra Sdn Bhd serta syarikat awam dan swasta.

Empat PBT yang terlibat dalam fasa pertama pelaksanaan ialah Shah Alam, Subang Jaya, Petaling Jaya dan Selayang.

Bagaimanapun, beberapa Ahli Parlimen Selangor telah membangkitkan kebimbangan berhubung potensi kehilangan hasil kepada PBT, peningkatan kadar parkir serta keuntungan berpihak kepada syarikat konsesi.

Susulan itu, kerajaan negeri bersedia untuk menangguhkan pelaksanaan SIP bagi membolehkan perbincangan lanjut dijalankan.

Mohd Fauzi turut memaklumkan bahawa MBSA telah memperoleh RM21.9 juta hasil kutipan parkir sepanjang tahun 2024, manakala bagi Januari hingga Jun 2025, sebanyak RM10 juta telah dikutip.

Artikel Berkaitan:

“Hasil kompaun pula ialah RM8.9 juta pada tahun 2024 dan RM3.6 juta bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini,” ujarnya.

Menurut beliau, kutipan tersebut membuktikan bahawa pengurusan parkir menyumbang pendapatan signifikan, dan MBSA komited memperkemaskannya selaras ketetapan kerajaan negeri.

Dalam perkembangan lain, isu banjir kekal sebagai agenda utama mesyuarat kali ini, khususnya di kawasan Kota Kemuning, Jalan Kebun, Kampung Lombong dan Paya Jaras.

“MBSA akan cari penyelesaian yang lebih tuntas dan komprehensif,” katanya.

Tambah beliau, isu parit tidak bertuan turut dibincangkan dan akan dimasukkan dalam Bajet MBSA 2026, termasuk penyediaan inventori serta peruntukan bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!