Covid-19: Pulau Pinang lancar kempen 'Penang Lawan Covid-19'

Chow Kon Yeow mengumumkan kempen 'Penang Lawan Covid-19' susulan peningkatan jumlah kes positif Covid-19 yang direkodkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di pejabatnya Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) hari ini. -Foto Bernama
Chow Kon Yeow mengumumkan kempen 'Penang Lawan Covid-19' susulan peningkatan jumlah kes positif Covid-19 yang direkodkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di pejabatnya Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang melancarkan kempen 'Penang Lawan Covid-19' dalam mencegah penularan wabak tersebut bersama rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri komited dalam memastikan penyampaian informasi dan maklumat terkini kepada rakyat dibuat secara cekap, teratur dan berkesan.

Beliau berkata, pihaknya merasakan kempen kesedaran awam tersebut perlu sebagai langkah pertama dalam membendung penularan berita dan fakta tidak sahih yang boleh mengundang keadaan cemas dan panik.

"Susulan peningkatan jumlah kes positif Covid-19 yang direkodkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan negeri komited dalam memastikan penyampaian informasi dan maklumat terkini disampaikan kepada rakyat secara berkesan.

"Dengan inisiatif khas iaitu kempen 'Penang Lawan Covid-19', kerajaan negeri dan rakyat dapat bersama-sama berusaha mencegah penularan wabak ini di Pulau Pinang.

"Orang ramai boleh mendapatkan maklumat berkaitan wabak ini di laman Facebook https://www.facebook.com/ilovpg," katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) tadi.

Menurutnya, kempen tersebut bertujuan membekalkan maklumat pencegahan yang perlu berdasarkan panduan serta nasihat daripada KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

Jelasnya, beberapa langkah drastik diambil antaranya semua program kerajaan negeri dan organisasi swasta yang melibatkan perhimpunan awam perlu dibatalkan mengikut garis panduan KKM.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, semua agensi negeri, premis swasta dan institusi pendidikan (kerajaan serta swasta) diarahkan mematuhi langkah kesihatan awam.

"Semua orang perlu diperiksa suhu badan selain pencuci pembasmi kuman (sanitizer) akan disediakan.

"Kita juga perlu mengamalkan jarak antara satu sama lain (social distancing) dan kakitangan awam serta swasta yang mempunyai gejala Covid-19 akan diminta bercuti," katanya.

Kon Yeow berkata, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan mengarahkan premis perniagaan termasuk premis makanan serta pusat penjaja untuk mematuhi langkah kesihatan awam yang sama.

"Kerajaan Pulau Pinang akan terus bekerjasama dengan KKM dan JKNPP dengan menggembleng tenaga bersama semua pihak berkaitan untuk memastikan rakyat Pulau Pinang sentiasa berada dalam keadaan sihat dan selamat," katanya.