[VIDEO] Empat ahli sindiket ditahan bersama dadah RM3.72 juta
GEORGE TOWN - Taktik licik sindiket dadah menggunakan sebuah rumah inap desa sebagai stor simpanan bunga ganja terbongkar apabila polis merampas lebih 112 kilogram (kg) dadah bernilai RM3.72 juta dalam beberapa serbuan di sekitar Seberang Perai Tengah, baru-baru ini.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada 22 Julai jam 10 pagi hingga 3 pagi keesokannya.
Menurutnya, empat lelaki berusia antara 31 hingga 39 tahun ditahan dalam operasi tersebut, terdiri daripada tiga warga tempatan dan seorang warga Vietnam.
Katanya, salah seorang suspek berperanan sebagai penghantar yang akan membawa bekalan dadah berkenaan dari negara jiran ke negeri ini.

“Dalam serbuan pertama di sebuah hotel di Bukit Mertajam, dua lelaki ditahan dalam bilik hotel, manakala seorang lagi yang berperanan sebagai transporter ditahan di lobi.
"Mereka menjadikan hotel berkenaan sebagai lokasi transit manakala rumah inap desa yang disewa sejak seminggu lalu dengan bayaran RM2,800 sebulan pula dijadikan stor penyimpanan bekalan dadah berkenaan.
“Hasil pemeriksaan membawa kepada rampasan satu beg kanvas mengandungi sembilan peket plastik ketulan daun kering disyaki ganja seberat 9.2 kilogram serta lima peket bunga ganja seberat 4.2 kilogram,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini pada Khamis.
Tambah beliau, susulan tangkapan itu, polis menahan seorang lelaki warga asing di Seberang Jaya yang kemudian membawa polis ke sebuah rumah inap desa dipercayai dijadikan stor simpanan dadah.
“Hasil pemeriksaan di rumah berkenaan menemui tiga jenis bagasi mengandungi sejumlah besar bungkusan plastik lut sinar berisi bunga ganja kering. Jumlah keseluruhan rampasan ialah 112.1 kg ganja dengan nilai anggaran RM3.72 juta.
“Rampasan ini boleh digunakan oleh kira-kira 230,000 penagih sekiranya terlepas ke pasaran. Kesemua dadah ini untuk pasaran tempatan termasuk Lembah Klang dan Kuala Lumpur. Sindiket ini aktif sejak Mac tahun ini," katanya.

Beliau menambah, warga asing tersebut masuk ke negara ini menggunakan pasport yang sah sebagai pekerja dalam bidang minyak dan gas. Dia mendakwa masuk ke negara ini atas urusan kerja.
"Transporter tersebut meraih pendapatan antara RM3,000 hingga RM5,000 bagi setiap penghantaran dan dia sudah dua kali melakukan kerja itu manakala ketiga-tiga lelaki tempatan tersebut tidak mempunyai pekerjaan," katanya.
Mohd Alwi berkata, ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine, manakala dua lagi positif dadah jenis amphetamine, ketamin dan benzo.
"Semakan juga mendapati tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah. Suspek pertama 11 rekod, kedua mempunyai tujuh rekod manakala ketiga, 13 rekod.
"Ada antara mereka yang mempunyai rekod baru iaitu antara 2024 hingga 2025. Ini menunjukkan, suspek masih tidak serik walaupun baru ditahan sebelum ini," ujarnya.
Tambah beliau, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 23 Julai hingga 29 Julai untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Kita turut menyita dua buah kereta iaitu Toyota Alphard, Honda City dan motosikal Yamaha Y16ZR. Toyota Aplhard tersebut digunakan oleh transporter untuk membawa dadah dan ia disewa dengan kadar RM500 sehari.
"Kesemua nilai sitaan kenderaan dan dadah berjumlah RM3.93juta," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

