Indrive, Maxim perlu jalani tempoh pemantauan tiga bulan - APAD

Dua syarikat e-hailing iaitu InDrive dan Maxim diletakkan di bawah tempoh pemantauan selama tiga bulan meskipun dibenarkan terus beroperasi di Malaysia.
Dua syarikat e-hailing iaitu InDrive dan Maxim diletakkan di bawah tempoh pemantauan selama tiga bulan meskipun dibenarkan terus beroperasi di Malaysia.
A
A
A

SHAH ALAM - Dua syarikat e-hailing iaitu InDrive dan Maxim diletakkan di bawah tempoh pemantauan selama tiga bulan meskipun dibenarkan terus beroperasi di Malaysia.

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berkata, kedua-dua syarikat terbabit perlu menjalani proses berkenaan bermula pada Khamis.

"Tindakan tegas sepertimana di bawah Seksyen 12A (5) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715] boleh dikenakan sekiranya mereka didapati gagal mematuhi mana-mana syarat perkhidmatan yang telah ditetapkan.

"Bagi memastikan komitmen kedua-dua syarikat pengendali itu berterusan, wakil syarikat dikehendaki hadir ke lbu Pejabat APAD setiap bulan sepanjang tempoh pemantauan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada Mei lalu, kerajaan mengarahkan dua aplikasi e-hailing dari Rusia, InDrive dan Maxim menghentikan operasi masing-masing berkuat kuasa 24 Julai ini kerana didakwa beroperasi secara haram.

Bagaimanapun, pada Jun, Maxim Malaysia memaklumkan telah mengemukakan rayuan kepada APAD berhubung dakwaan pihaknya beroperasi secara haram dan pemandunya melanggar syarat pelesenan.

Pengarahnya, Mohd Hazwan Musley berkata, segala pindaan dan peraturan yang dikenakan akan dipatuhi sepenuhnya bagi membolehkan syarikat terus beroperasi di negara ini.

APAD turut memaklumkan, bilangan kehadiran bulanan adalah tertakluk kepada keperluan agensi berkenaan berdasarkan tahap pemantauan dan isu semasa.

"Sesi terbabit bertujuan untuk membolehkan APAD melaksanakan pemantauan secara 'real-time',yang mana semakan rawak terhadap pemandu dilakukan melalui aplikasi InDrive dan Maxim," ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Jelas agensi itu, keputusan diambil selepas semakan rawak terhadap pemandu Indrive dan Maxim pada 11 Julai lepas mendapati semua pemandu yang disemak telah mempunyai Permit Kenderaan E-Hailing (EVP) sah berdasarkan semakan silang dengan data rekod agensi

Menurutnya, berdasarkan hasil penelitian dan penilaian semasa oleh pihaknya dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), langkah penambahbaikan dan komitmen yang ditunjukkan kedua-dua syarikat pengendali adalah memuaskan.

"Sebelum ini, APAD mengeluarkan Notis Pembatalan Lesen Perniagaan Pengantaraan (LPP) kepada dua syarikat yang berkuatkuasa pada 24 Julai 2025 susulan audit terhadap pemain-pemain utama pengendali e-hailing (EHO) didapati ketidakpatuhan Maxim dan Indrive terutamanya dalam aspek keperluan EVP.

"Susulan tindakan tersebut, dua syarikat terbabit telah membuat rayuan kepada Kementerian Pengangkutan dan disyaratkan untuk mengambil tindakan pembetulan sebelum 24 Julai 2025 bagi kelangsungan perkhidmatan masing-masing," " kata APAD.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!