Pulangkan 25 peratus hasil cukai, bukan desakan tanpa asas - MB Johor

Laporan Sinar Harian mengenai titah Tunku Mahkota Ismail yang menzahirkan agar kerajaan Persekutuan memulangkan sekurang-kurangnya 25 peratus hasil cukai pendapatan yang disumbangkan oleh Johor.
Laporan Sinar Harian mengenai titah Tunku Mahkota Ismail yang menzahirkan agar kerajaan Persekutuan memulangkan sekurang-kurangnya 25 peratus hasil cukai pendapatan yang disumbangkan oleh Johor.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI – Cadangan agar kerajaan Persekutuan memulangkan sekurang-kurangnya 25 peratus hasil cukai pendapatan yang disumbangkan oleh Johor kepada negeri ini disifatkan sebagai satu langkah yang rasional, strategik dan berpandangan jauh.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, cadangan tersebut tidak bertujuan menafikan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

“Menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang telah menzahirkan agar kerajaan Persekutuan memulangkan sekurang-kurangnya 25 peratus hasil cukai pendapatan yang disumbangkan oleh Johor untuk digunakan semula demi pembangunan negeri ini.

“Syukur Alhamdulillah, Johor terus mencatat pencapaian luar biasa sebagai antara penyumbang utama ekonomi negara. Pada suku pertama 2025, Johor merekodkan nilai pelaburan diluluskan tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak RM30.1 bilion.

“Tahun 2024 pula menyaksikan Johor mencatat kadar pertumbuhan KDNK tertinggi di negara ini iaitu 6.4 peratus, mengatasi purata nasional sebanyak 5.1 peratus. Dalam sektor pertanian, Johor turut muncul sebagai peneraju dengan nilai jualan tertinggi sebanyak RM27.2 bilion,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, pencapaian tersebut adalah hasil kepimpinan di bawah naungan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, serta kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

Namun begitu, katanya, Johor kini berdepan keperluan mendesak untuk mempercepatkan pelaksanaan pelbagai projek asas rakyat termasuk penambahbaikan infrastruktur, sistem kesihatan, pengurusan banjir dan kebajikan rakyat.

“Titah agar sekurang-kurangnya 25 peratus hasil cukai dipulangkan semula kepada Johor bukanlah tuntutan yang bersifat mendesak tanpa asas, apatah lagi menafikan kerjasama dengan kerajaan Persekutuan.

“Sebaliknya, ia merupakan satu cadangan yang rasional, strategik dan berpandangan jauh, agar negeri yang terbukti menyumbang besar kepada kemakmuran negara turut diberikan keupayaan kewangan dan kuasa pengurusan yang lebih adil dan efektif,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Onn Hafiz berkata, sekiranya hasil itu dapat diurus dan diagihkan dengan lebih telus dan cekap, bukan sahaja rakyat Johor akan menerima manfaat secara langsung, malah ekonomi negara turut menerima limpahan positif yang lebih besar.

Beliau berkata, dengan kemudahan kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan sosial yang bertambah baik, Johor akan menjadi lebih kompetitif, mampan dan bersedia menyumbang dengan lebih berkesan kepada pembangunan Malaysia secara menyeluruh.

“Kerajaan Johor sentiasa berpegang kepada semangat kebersamaan dengan Kerajaan Persekutuan. Namun, dalam masa yang sama, Johor wajar dilihat bukan hanya sebagai penyumbang angka ekonomi negara, tetapi sebagai rakan kongsi strategik yang boleh digerakkan untuk menjayakan agenda pembangunan negara dengan lebih pantas dan menyeluruh demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.

“Kerajaan negeri berharap agar cadangan ini dapat diperhalusi dan dipertimbangkan dengan sebaiknya oleh kerajaan Persekutuan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!