Peniaga Desa Pandan perlu patuhi garis panduan baharu - Johari

KUALA LUMPUR – Peniaga di Jalan 2/76, Desa Pandan di sini yang menerima notis pengosongan gerai diminta memberi kerjasama dan mematuhi garis panduan baharu demi memastikan kawasan tersebut kekal teratur dan bersih.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, arahan pengosongan bukan bertujuan menutup mata pencarian peniaga, sebaliknya sebagai langkah menyusun semula struktur gerai agar lebih sistematik dan selamat.
Justeru, tegas beliau, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu memastikan struktur yang dibina di atas tanah itu mengikut peraturan dan bukannya sekadar mendirikan gerai tanpa perancangan.
“Kalau kawasan ini tidak tersusun, sukar untuk kita melaksanakan kerja-kerja pembesaran jalan dan pembangunan,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan ke tapak perobohan gerai di Desa Pandan pada Rabu.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.

Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi memaklumkan bahawa kerja pembesaran jalan perlu dilaksanakan kerana laluan tersebut merupakan akses penting kepada penduduk, termasuk ke sekolah dan masjid.
“Jalan ini penting kerana kita hendak memastikan kenderaan dapat melalui laluan ini dalam keadaan selesa dan orang ramai khususnya penduduk berdekatan boleh berjalan kaki dengan selamat, selain kawasan ini menjadi lebih bersih dan teratur.
“Namun dalam masa yang sama, kita tidak mahu meminggirkan peniaga, cuma mereka perlu ikut peraturan,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya bersama DBKL dan agensi terlibat sedang mencari jalan terbaik bagi mengekalkan aktiviti niaga di kawasan itu, tetapi dalam bentuk yang lebih sistematik.
“Kita tidak boleh jadikan kawasan ini tidak tersusun, sebaliknya mahu kawasan ini menjadi contoh bukan hanya kepada negara, malah kepada pengunjung luar,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Johari berkata, peniaga yang terkesan masih diberi ruang untuk terus berniaga dalam tempoh peralihan sebelum keputusan muktamad dilaksanakan.
“Pematuhan boleh dilaksanakan dengan cepat kerana kerja-kerja ini tidak memerlukan masa bertahun. Bila sudah siap, kita boleh susun semula dan peniaga boleh kembali,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau menekankan bahawa aspek kebersihan dan keselamatan yang sering diabaikan sebelum ini perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.
“Kita ada contoh di kawasan lain seperti Keramat. Dulu tidak terurus, tetapi apabila kita ambil tindakan tegas, kawasan itu menjadi lebih selesa dan tersusun,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa sebarang pelaksanaan akan mengambil kira pandangan semua pihak, termasuk penduduk dan pemilik lot kedai berhampiran.
“Kita hendak pastikan semua pihak, termasuk pemilik premis dan penjaja mendapat manfaat. Kalau kawasan ini cantik, tersusun dan bersih, nilai hartanah pun meningkat, pelanggan pun lebih selesa,” jelasnya.
Johari turut mencadangkan pembinaan semula gerai dengan reka bentuk yang lebih moden bagi menarik lebih ramai pelanggan serta menjadikan kawasan itu sebagai satu tarikan baharu.
“Saya setuju kalau kita boleh wujudkan satu ekosistem lengkap kerana di sini ada pasar, gerai makanan dan tempat letak kereta yang mencukupi, tetapi semuanya perlu tersusun dan ikut pelan,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa rundingan dan kajian akan dilaksanakan sebelum sebarang tindakan perobohan dilaksanakan sepenuhnya.
“Kita hendak bantu peniaga, bukan halau mereka. Tapi kena faham, kalau tiada pematuhan, sukar untuk kita bangunkan kawasan ini,” katanya.
Mengulas mengenai isu jambatan kecil di Desa Pandan yang sering dilalui kenderaan berat, Johari berkata, terdapat kemungkinan jambatan itu ditutup atau hanya dibuka untuk pejalan kaki, motosikal dan basikal sahaja.
Ujar beliau, DBKL sedang merangka penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang bagi menangani kesesakan serta keadaan tidak teratur di laluan tersebut.
“Kalau boleh, kita pasang dahulu laluan sementara untuk motosikal dan basikal. Kalau langkah itu berkesan, kita jadikan ia penyelesaian kekal,” katanya.
Sementara itu, Dr Zaliha berkata, beliau turun padang bagi meninjau sendiri keadaan jalan dan isu keselamatan yang membelenggu penduduk di kawasan selatan ibu kota sejak beberapa minggu lalu.
Beliau memaklumkan bahawa beberapa siri perbincangan dan libat urus telah dijalankan melibatkan pelbagai pihak, termasuk isu laluan jalan dan keperluan sistem komunikasi yang lebih baik untuk kemudahan penduduk.
“Kita tidak mahu saling menyalahkan. Saya mahu semua pihak duduk bersama dan selesaikan isu ini secara berhemah.
“Saya difahamkan di kawasan ini terdapat beberapa institusi termasuk masjid dan sekolah. Jadi, laluan yang selesa dan selamat sangat penting kerana kawasan ini menjadi tumpuan harian penduduk,” ujarnya.
Menurut Dr Zaliha, terdapat cadangan supaya jambatan alternatif di kawasan itu ditutup kepada kenderaan berat memandangkan jalan sedia ada sempit dan tidak sesuai untuk dilalui lori atau bas hingga menyebabkan beberapa insiden kemalangan.
“Saya yakin kita akan capai kata sepakat yang lebih baik demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Sinar Harian pada 17 Julai lalu melaporkan bahawa peniaga dan penduduk di Blok E16, Jalan 2/76, Pangsapuri Anggerik E2 di sini meluahkan rasa kecewa susulan tindakan DBKL yang mengeluarkan notis perobohan terhadap sembilan gerai makanan dan minuman yang telah beroperasi lebih 10 tahun.
Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Anggerik E2, Shaaripuddin Yup Kamaruddin berkata, penduduk dan peniaga menerima dua notis berasingan daripada dua jabatan DBKL dengan tarikh pelaksanaan yang berbeza.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

