'Maaf, terlepas simpang nak cepat'

SHAH ALAM – Mahu cepat, tersalah jalan dan terlepas simpang merupakan antara alasan penunggang motosikal selepas ditahan polis kerana tidak menggunakan laluan khas motosikal di Lebuhraya Persekutuan di sini pada Rabu.
Kesalahan tersebut dikesan hasil pelaksanaan Op Bersepadu Motosikal yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dengan kerjasama Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Selangor.

Operasi yang bermula jam 10 pagi itu turut mengesan penunggang motosikal yang melencongkan kenderaan ke laluan lain selepas melihat sekatan jalan raya polis.
Malah, tindakan dua pekerja pembersihan warga Bangladesh yang menunggang motosikal sambil memeluk papan tanda, penyapu dan membawa mesin gergaji kecil turut menarik perhatian petugas operasi.
Mereka bagaimanapun mengakui kesalahan dilakukan, selain menyedari risiko membawa muatan berbahaya menaiki motosikal.

Selain itu, seorang penunggang motosikal berusia 30-an mendakwa dia dalam perjalanan ke Shah Alam dari Jinjang, Kuala Lumpur menggunakan aplikasi navigasi.
“Saya memang tak cam laluan khas motosikal, aplikasi ini tunjuk arah di laluan utama. Saya lupa hendak tukar ke mod motosikal,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, operasi yang diketuai Deputi Superintenden Mohd Agus Mohd Ali telah melaksanakan pemeriksaan ke atas 180 motosikal.
Katanya, sebanyak 147 saman telah dikeluarkan dan daripada jumlah itu, 141 saman adalah kerana tidak menggunakan lorong motosikal.

"Unit dron PGU Polis Diraja Malaysia (PDRM) berperanan memberikan 'birds eye view' bagi mengenal pasti kenderaan-kenderaan dari jarak jauh yang melakukan kesalahan.
“Tindakan diambil apabila kenderaan terbabit sampai ke lokasi sekatan atau berdasarkan rakaman gambar serta video kesalahan yang boleh digunakan untuk mengeluarkan notis saman PDRM,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Jelas beliau, tujuan utama operasi ialah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan penunggang motosikal supaya menggunakan lorong motosikal yang sedia ada di lebuh raya tersebut.
“Ini berikutan peningkatan kes kemalangan melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal pada tahun 2025 berbanding tahun sebelumnya di kawasan lebuh raya sekitar Shah Alam,” ujarnya.
Tegasnya, pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal diingatkan untuk sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas serta menggunakan lorong motosikal yang disediakan.
“Operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
