Lagi nahas masuk simpang, penunggang motosikal maut, rakan cedera

Keadaan lokasi kemalangan di Kilometer 70, Jalan Persekutuan Kuala Terengganu -Kota Bharu, berhampiran Klinik Kesihatan Bandar Permaisuri, di Setiu pada Sabtu.
Keadaan lokasi kemalangan di Kilometer 70, Jalan Persekutuan Kuala Terengganu -Kota Bharu, berhampiran Klinik Kesihatan Bandar Permaisuri, di Setiu pada Sabtu.
A
A
A

SETIU - Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera selepas motosikal dinaiki mereka dipercayai merempuh sebuah kereta sedang membelok ke simpang dalam kejadian di Kilometer 70, Jalan Persekutuan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Klinik Kesihatan Bandar Permaisuri di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.55 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Syahrul Izzat Ruhadi, 23, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Bandar Permaisuri.

Rakannya, Mohamad Faris Haiqal Amran, 17, yang membonceng motosikal jenis Honda C1004-MA pula mengalami luka di lengan kanan dan lutut kiri dan kini dirawat di Hospital Setiu.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu seorang wanita berusia 29 tahun sedang membelok ke simpang kanan sebelum dirempuh motosikal dari arah bertentangan.

"Siasatan awal mendapati kereta itu dalam perjalanan dari Bandar Permaisuri ke rumah pemandu di Kampung Buluh Hilir, manakala motosikal dinaiki mangsa dari arah Kampung Guntong Luar menuju ke Bandar Permaisuri," katanya di sini pada Sabtu.

Tambah beliau, pemandu kereta yang juga pegawai pemilihan kredit serta dua penumpangnya termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun tidak mengalami kecederaan.

"Mayat Muhammad Syahrul Izzat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk tindakan lanjut dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!