Kenapa Tun M dilepas, kes Tun Daim diteruskan? - Ahmad Fadhli

KUALA LUMPUR - Pembangkang mempersoalkan keputusan kerajaan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu Pulau Batu Puteh atas faktor usianya, sedangkan kes melibatkan pemimpin yang sudah meninggal dunia tetap diteruskan.
Perkara tersebut dibangkitkan oleh Ahmad Fadhli Shaari (Pas–Pasir Mas) yang membandingkan fakta kes antara Dr Mahathir dan nasib berbeza yang menimpa Allahyarham Tun Daim Zainuddin berhubung sitaan aset peninggalannya.
“Perdana Menteri perlu akui bahawa tiada bukti yang kukuh untuk mendakwa Tun M sebenarnya.
“Jika kerana faktor usia, SPRM boleh sahaja mengambil tindakan ke atas Allahyarham Tun Daim sekalipun selepas kematiannya dengan membuat sitaan ke atas aset peninggalannya.
“Tun M tidak sama seperti sesetengah individu yang cuba melengahkan kes mahkamah, memohon imuniti dan sebagainya. Bahkan, jika kerajaan bertindak mendakwa Tun M, barangkali ‘orang tua’ itu tanpa sebarang rasa takut akan melangkah ke kandang tertuduh untuk mempertahankan dirinya.
“Bukanlah saya mahu pertahankan Tun M sangat, tetapi saya rasa mual dengan alasan Perdana Menteri ini. Turun sahajalah, selesai satu masalah besar negara,” katanya dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat pada Selasa.
Ahmad Fadhli yang juga Ketua Penerangan Pas berkata demikian merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa kerajaan memutuskan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu Pulau Batu Puteh atas faktor usia beliau yang sudah lanjut.
Anwar sebelum ini menyatakan bahawa keputusan Kabinet untuk tidak mengambil tindakan undang-undang juga mengambil kira status Dr Mahathir sebagai bekas Perdana Menteri.
Bagaimanapun, katanya, Kabinet tetap berpendirian bahawa Dr Mahathir bersalah kerana keputusan beliau sebagai Perdana Menteri pada tahun 2018 yang melepaskan Pulau Batu Puteh dengan begitu mudah kepada Singapura.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
