121 kes salah guna identiti individu berprofil tinggi - Nie Ching

KUALA LUMPUR - Sebanyak 121 kes penipuan melibatkan individu berprofil tinggi termasuk pemimpin utama negara dan ahli politik direkodkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) setakat tahun ini.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, penipuan siber menerusi iklan di platform media sosial itu menggunakan taktik penyamaran, penyebaran maklumat palsu dan penyalahgunaan identiti dalam talian.
Menurutnya antara individu berpengaruh yang terkesan dengan taktik tersebut ialah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
"121 permohonan telah dikemukakan oleh SKMM kepada Meta untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap kandungan berunsur penipuan kerana ada iklan, 'scammer' yang menyalahgunakan identiti individu berprofil tinggi.
"Oleh sebab itu tahun ini telah diluluskan Akta Keselamatan Dalam Talian yang diwartakan pada 22 Mei, SKMM sedang membangunkan perundangan tambahan termasuk kod keselamatan dalam talian mengenai kewajipan mengurangkan risiko 'scammer'," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Dalam pada itu Nie Ching memaklumkan, pelbagai usaha dijalankan secara berterusan oleh SKMM termasuk menjalin kerjasama teknikal dengan penyedia perkhidmatan media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok bagi tujuan penurunan kandungan yang berunsur scam, penipuan pelaburan, perjudian dalam talian serta penjualan produk tidak berdaftar.
Menurutnya, penyedia perkhidmatan media sosial atas permohonan SKMM telah mengambil tindakan penurunan terhadap 242 kandungan penipuan pada tahun 2022.
"Jumlah ini meningkat ke 6,297 pada tahun 2023 dan 63,652 pada 2024.
"Setakat 15 Julai tahun ini, sebanyak 46,817 kandungan penipuan telah diturunkan dan tindakan ini dibuat berdasarkan aduan diterima serta garis panduan komuniti yang ditetapkan oleh setiap platform selaras undang-undang tempatan," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
