Nahas pelajar UPSI: 'Setiap kali nampak lampu bas, saya terbayang tragedi itu' - Pemandu Alza

SUNGAI PETANI - Biarpun semakin pulih dari trauma, namun pemandu Perodua Alza yang terlibat nahas bersama bas Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 9 Jun lalu masih terbayang-bayang insiden tragis itu.
Mohd Lutfi Radzi, 37, berkata, tragedi yang berlaku sehingga mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu tetap terlintas di fikiran setiap kali ternampak bas dari belakang ketika memandu pada waktu malam.
"Setiap kali memandu kereta pada waktu malam dan terlihat lampu bas yang mengekori dari belakang, saya akan teringat tragedi menimpa kami 9 Jun lalu," katanya.
Mohd Lutfi ditemui di kediamannya di sini pada Selasa ketika menerima kunjungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang turut menyampaikan sumbangan RM10,000 melalui Program Ziarah Madani Peduli.

Mohd Lutfi berkata, tetap perlu kuatkan semangat memandangkan lokasi nahas merupakan laluan yang sering dilalui untuk pulang ke kampung isterinya.
"Jalan itu merupakan laluan kami sekeluarga untuk pulang ke kampung isteri di Kemaman, Terengganu, mungkin akan terus terbayang-bayang jika melaluinya nanti," katanya.
Mohd Lutfi yang merupakan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Malau di Baling itu turut meluahkan kesyukuran melihatkan perkembangan baik kesihatan isteri, Nurul Ain Zakaria, 36, yang juga guru di SK Tembak serta anak-anak.
Dalam masa sama Mohd Lutfi merakamkan penghargaan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan mereka sekeluarga.
Dalam nahas terbabit, Mohd Lutfi cedera ringan di dada dan bahu, Nurul Ain patah lima tulang rusuk, anak sulung, Nur Aisyah Nafisah, 6, patah tulang lutut manakala anak bongsu, Muhammad Ahsan Nafis, 2, lebam dan luka di kepala dan badan.
Menurutnya, walaupun Nurul Ain semakin pulih namun dinasihatkan tidak boleh melakukan kerja-kerja berat sementara Nur Aisyah sudah boleh melakukan pergerakan ringan dan tidur dengan baik.
“Kedua-dua mereka masih bercuti dan dijangka kembali ke sekolah pada September nanti.
"Anak sudah boleh jalan sendiri, cuma tak boleh pijak kaki satu lagi dan isteri pun sudah boleh buat kerja-kerja ringan seperti menyapu sampah.
“Anak bongsu kami pula hanya mengalami lebam dan luka di kepala dan badan dan saya cuma cedera ringan di dada dan bahu,” katanya.
Dalam nahas tragis di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik, Perak itu, 15 penuntut UPSI meninggal dunia akibat kecederaan teruk dialami setelah bas dinaiki mereka terbabas dan melanggar pembahagi jalan.
Kesemua mereka menaiki bas yang disewa khas untuk pulang ke kampus di Tanjung Malim setelah pulang bercuti sempena Hari Raya Aidiladha di kampung masing-masing.
Sementara kenderaan yang dipandu Mohd Lutfi berpusing beberapa kali setelah dirempuh bas dari arah belakang sebelum terjatuh ke dalam longkang di laluan bertentangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

